PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

KUCHING – Polis Sarawak tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menganjurkan kegiatan pertaruhan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 yang berlangsung 18 Disember ini.

Pesuruhjaya Polis Negeri, Datuk Aidi Ismail berkata, Cawangan Khas dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) diarah  untuk memantau dakwaan kaki judi bertaruh keputusan pilihan raya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Dudong.

Katanya, tindakan undang-undang akan diambil terhadap individu dan kumpulan yang cuba menganjurkan aktiviti perjudian itu.

“Saya memberi amaran sekeras-kerasnya, pihak polis akan mengambil tindakan sewajarnya agar tidak ada aktiviti perjudian semasa PRN Sarawak,” katanya kepada pemberita selepas sesi demonstrasi Unit Tindakan Rusuhan Awam (PORU) Bersama Unit Meriam Air Briged Sarawak Pasukan Gerakan Am (PGA) Sarawak di Dataran Kawad PGA Batu Kawa di sini, hari ini.

Aidi berkata demikian ketika mengulas dakwaan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) kerusi DUN Dudong, Datuk Seri Tiong King Sing bahawa beliau menerima maklumat wujudnya aktiviti pertaruhan keputusan pilihan raya di kawasan ditandinginya.

Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Ahli Parlimen Bintulu itu mendakwa beliau mendapat maklumat berhubung aktiviti pertaruhan apabila kaki judi turut menyasarkan kawasan DUN Dudong.

Dalam perkembangan berasingan, Aidi berkata, sejumlah 7,343 anggota daripada pelbagai unit telah dikerah bersiap sedia untuk bertugas pada hari pengundian 18 Disember nanti berbanding 5,522 anggota yang bertugas pada hari penamaan calon kelmarin.

Setakat ini, polis telah menerima 103 pemohonan daripada parti yang bertanding di PRN Sarawak untuk mendapatkan permit mengadakan kempen secara fizikal. – Bernama