Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari

SHAH ALAM – Sebanyak 17 klinik di Lembah Klang menerusi Program Selangor Vaksin (Selvax Komuniti) disediakan bagi pemberian dos penggalak Covid-19 kepada rakyat di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, orang ramai digalakkan membuat tempahan secara dalam talian atau menerusi aplikasi SELAngkah atau laman web Selvax Komuniti bagi mengelakkan kesesakan.

“Kita mulakan dengan 17 klinik itu dulu, ada laman webnya, ada SELangkah untuk membuat tempahan.

“Saya galakkan buat tempahan (awal) untuk elakkan kesesakan sebagaimana yang berlaku pagi ini.

“Kita buka peluang ini kepada 18 tahun ke atas dan bila datang, sudah pasti kita akan tumpukan kepada warga emas yang beratur dan golongan komorbid,” katanya pada Sidang Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Dalam pada itu, Kerajaan Negeri Selangor juga dalam perancangan untuk menambah jumlah klinik yang memberi dos penggalak bagi memenuhi keperluan semasa khususnya peningkatan permintaan selepas enam bulan menerima dos kedua.

“Kita sedang membaiki dan mempertingkatkan termasuk menambah jumlah kuota di pusat-pusat klinik supaya semua yang datang pada hari ini mendapat bekalan secukupnya

“Keprihatinan rakyat terhadap program vaksin ini cukup tinggi terutamanya untuk mendapatkan dos penggalak.

“Dengan dok penggalak ini saya percaya kita dapat mempercepatkan termasuk meningkatkan imunisasi yang dijangka berkurang setelah enam bulan selepas dos kedua bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK),” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast