Dr. Siti Mariah Mahmud

SHAH ALAM – Isteri yang ditinggalkan suami disarankan supaya membuat laporan polis bagi memudahkan kerajaan negeri menerusi agensinya membantu mereka daripada segi kewangan dan sokongan moral.

Exco Kesihatan Awam, Perpaduan & Pembangunan Wanita dan Keluarga, Dr. Siti Mariah Mahmud berkata, selain bantuan itu, kerajaan negeri juga akan membantu mereka daripada segi dokumentasi perceraian.

“Untuk wanita atau isteri yang ditinggalkan suami, ditinggalkan gantung tidak bertali, saya menyarankan mereka perlu membuat laporan polis, memaklumkan suami telah meninggalkan mereka.

“Dengan ini, kita anggap mereka ini ibu tunggal dan apabila mereka memohon, kita akan berikan bantuan.

“Dalam hal ini, kita harap semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) membantu mereka dan kita juga turut membantu mereka dari segi dokumentasi sebagai syarat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya dalam sesi pertanyaan di sidan DUN Selangor hari ini.

Dr. Siti Mariah menjelaskan, itu antara perkara yang kerajaan negeri perlu beri pendidikan dan kesedaran kepada kaum wanita supaya mereka tahu hak masing-masing.

Bagaimanapun, katanya, ramai dalam kalangan mereka tidak tahu selepas ditinggalkan suami bertahun-tahun sehingga buntu untuk mencari tempat mengadu. – MalaysiaGazette