Pemain Terengganu FC, Jordan Mintah (tengah) cuba melepasi beberapa pemain JDT pada perlawanan separuh akhir kedua TM Piala Malaysia 2021 di Stadium Sultan Ibrahim, Johor. Foto HAZROL ZAINAL, 26 NOVEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Penyerang Terengganu FC, Jordan Mintah menganggap kehadiran Kpah Sherman ke dalam pasukan tidak akan menutup peluangnya untuk menyerlah, sebaliknya mereka akan menjadi gandingan yang lebih mantap bagi musim 2022.

Bekas penyerang Kedah Darul Aman FC itu dilihat akan menghadirkan persaingan antara mereka, namun Mintah menyifatkan Sherman sebagai pemain yang cukup berkualiti untuk membantu rakan sepasukan terutama di bahagian serangan.

Bahkan, dia tidak melihat situasi itu daripada sudut negatif kerana apa yang lebih penting adalah bagaimana mereka perlu bekerjasama untuk memantapkan lagi pasukan selain menganggap ia akan menjadi persaingan sihat untuk sama-sama memperbaiki prestasi di tahap terbaik.

Mintah memutuskan untuk kekal bersama Terengganu pada musim depan selepas mempamerkan prestasi cemerlang menerusi jaringan yang dilakukan untuk membantu pasukan terutamanya dalam saingan TM Piala Malaysia untuk mara ke separuh akhir selain turut dinobatkan selaku Penjaring Terbanyak Liga Premier 2021.

“Kpah (Sherman) merupakan pemain yang cukup bagus dan saya percaya kami berdua akan menjadi gandingan terbaik untuk sama-sama memantapkan lagi bahagian serangan.

“Saya tidak anggap dia sebagai pencabar dan saya melihat kehadiran dia dari sudut positif untuk kami bekerjasama dan saya percaya dengan percaturan jurulatih nanti untuk pasukan.

“Saya tengok dia (Sherman) seorang pemain yang sentiasa berjuang di atas padang, begitu juga dengan saya dan sebab itu, saya rasa dengan adanya dia, pasukan akan bertambah baik dan kami berdua bersedia untuk bantu pasukan”, jelasnya.

Pada masa sama, pemain kelahiran Ghana ini juga bertekad untuk cuba memburu gelaran Penjaring Terbanyak Liga Super musim depan selepas meraih gelaran sama di pentas Liga Premier musim ini.

Jelasnya, musim 2021 meninggalkan kenangan manis buat dirinya yang semakin berjaya mencipta nama dan menjadi antara penyerang yang digeruni selepas meraih 25 gol secara keseluruhan termasuk Piala Malaysia.

“Ia satu pengalaman yang sangat manis dan dengan sokongan yang saya dapat daripada penyokong cukup menggembirakan saya untuk musim ini.

“Cuma saya selalu cakap dekat diri sendiri yang saya ingin menjadi lebih baik daripada sekarang pada setiap musim dan kena bekerja lebih keras.

“Musim depan saya akan cuba kejar untuk menjadi penjaring terbanyak dan ia satu kepuasan sebenarnya apabila dapat menjaringkan gol untuk pasukan”, jelasnya.

Terengganu FC menamatkan musim 2021 di tangga keempat Liga Super dan mara hingga ke pusingan separuh akhir TM Piala Malaysia sebelum tewas kepada Johor Darul Ta’zim (JDT). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast