garbage disposal solid waste landfill Selangor
Ng Sze Han

SHAH ALAM – Pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Selangor tidak pernah menggunakan kaedah tembak anjing liar terbiar dalam program pelupusan haiwan itu.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata, kaedah pelupusan yang digunakan dua pihak itu ialah menerusi suntikan.

Katanya, kaedah itu menggunapakai Pekeliling Setiausaha Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan 2014 iaitu tatacara operasi piawaian penangkapan dan pelupusan anjing terbiar di kawasan PBT.

“Pelupusan ini maksudnya penghapusan anjing setelah penilaian dilaksanakan ke atas haiwan berkenaan yang ditangkap.

“Kaedah pelupusan yang digariskan dalam pekeliling itu adalah secara suntikan dan disahkan mati oleh Pegawai Veterinar atau mana-mana pegawai PBT yang terlatih.

“Kaedah menembak tidak pernah dilaksanakan oleh PBT Selangor bagi pelupusan anjing terbiar,” katanya menjawab soalan Saari Sungib (PKR-Hulu Kelang) dalam sesi pertanyaan di sidang DUN Selangor hari ini.

Sze Han berkata, pelbagai prosedur dilakukan pegawai terlibat iaitu menyediakan pusat perlindungan haiwan atas dasar kemanusiaan.

Selain itu, katanya, kerajaan negeri juga sedang memastikan tapak bersesuaian untuk mendirikan pusat perlindungan dan adopsi haiwan itu.

Menjawab soalan tambahan dari Saari, beliau berkata, jika pihak JPV dan PBT mendapat haiwan itu sakit atau tidak sihat, langkah pelupusan dilakukan segera menggunakan kaedah suntikan.

“Pelupusan anjing ini dilakukan secara sopan, yang dilakukan Pegawai Perubatan atau doktor JPV yang terlatih dan mengikut SOP,” katanya.

Bagi soalan Halimey Abu Bakar (PKR-Seri Setia), Sze Han berkata, anggota PBT ada kaedah tertentu untuk menangkap anjing liar dan terbiar sebaik menerima aduan penduduk di kawasan perumahan.

Katanya, tangkapan itu tidak akan mendatangkan kecederaan ke atas anjing berkenaan dan terus dibawa ke pusat perlindungan haiwan. – MalaysiaGazette