Orang awam melakukan aktiviti berbasikal pada waktu malam selepas kerajaan melonggarkan SOP sejurus beralih kepada Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara di Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 14 SEPTEMBER 2021.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan menyediakan pakej berbasikal di beberapa kawasan dalam negara ini bagi memudahkan rakyat terlibat dengan aktiviti sukan yang semakin popular itu.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kementerian juga akan memperkenalkan semula majalah berbasikal yang lengkap dengan maklumat mengenai pakej yang bakal diperkenalkan.

“Seiring dengan trend aktiviti berbasikal yang semakin menarik minat dalam kalangan rakyat Malaysia, Tourism Malaysia akan menerbitkan edisi terbaru majalah berbasikal yang pernah diterbitkan sejak 2013.
“Sebelum ini, beberapa edisi majalah berbasikal berjudul Discover Malaysia by Bicycle pernah diterbitkan turut membekalkan maklumat berhubung lebih kurang 100 pakej berbasikal di pelbagai destinasi di dalam negara.

“Edisi baharu buku panduan yang dirancang untuk diterbitkan pada tahun hadapan ini akan turut meliputi elemen aktiviti berbasikal yang lebih menarik dan mesra alam sekitar, selaras dengan konsep pelancongan mapan,” katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Rohani Abdul Karim (GPS-Batang Lupar) yang meminta kementerian mengintegrasikan di antara minat orang ramai yang suka berekreasi dengan mendaki dan berkelah serta berbasikal di kawasan air terjun dan hutan yang telah digazetkan sebagai hutan simpan dalam masa yang sama memelihara alam sekitar.

Nancy memberitahu, pakej berbasikal lain yang turut dirancang untuk dibangunkan adalah pakej berbasikal di Sematan dan Lundu di Sarawak, kawasan agropelancongan Sekinchan, Selangor dan juga meneroka potensi sepanjang pesisir pantai di Terengganu.

“Aktiviti yang dirancang ini juga akan turut melibatkan pelancongan berasaskan komuniti atau Community Based Tourism (CBT) bagi membuka peluang yang lebih luas kepada lebih banyak pihak dalam rantaian pelancongan ini,” jelasnya. – MalaysiaGazette