Stuart Wilkin.

KUALA LUMPUR – Sabah FC meneruskan usaha mereka membawa masuk pemain berprofil tinggi untuk memperkuatkan pasukan menghadapi saingan Liga Malaysia musim hadapan.

Kali ini pasukan itu dikaitkan dengan pemain kacukan Malaysia-England, Stuart Wilkin.

Stuart Wilkin dikatakan bakal menjadi salah satu pemain yang akan dilepaskan atau dipinjamkan Johor Darul Ta’zim (JDT) ke pasukan lain musim hadapan.
Sekiranya berpisah dengan JDT, skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu bakal menjadi destinasi seterusnya bagi graduan kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Southampton itu.

Wilkin mula beraksi bersama JDT pada musim ini selepas menandatangani kontrak bersama juara bertahan Liga Super itu pada April lalu.

Penampilan pertamanya hadir pada perlawanan menentang Skuad Projek FAM-MSN.

Beraksi di posisi sayap, pemain berusia 22 tahun itu mencipta gandingan baik bersama dua lagi pemain iaitu Fernando Rodriguez dan Alif Mutalib di bahagian serangan JDT II yang beraksi dalam saingan Liga Premier sekaligus membantu pasukan tersebut menamatkan saingan di tangga keempat.

Sabah FC kini melakukan rombakan dari segi pemain bagi menghadapi musim 2022 dimana pasukan itu telah menandatangani beberapa nama besar selain mempunyai pengalaman luas dalam saingan bola sepak tanah air. – MalaysiaGazette

Antara nama besar yang telah menyertai kelab dari Borneo itu ialah bekas ketua pasukan Kedah Darul Aman, Baddrol Bakhtiar, Rizal Ghazali, Dominic Tan yang musim lalu beraksi di Thai League 1 bersama Police Tero dan juara Liga Premier musim lalu bersama Negeri Sembilan, Damien Lim.

Selain itu, Sabah turut mengekalkan khidmat beberapa pemain senior antaranya Nazirul Naim, Amri Yahyah yang bakal beraksi pada usia 41 tahun musim hadapan selain bekas penyerang skuad B-23 tahun negara, N.Thanabalan.

Penyerang muda negara yang sedang meningkat naik, Azhad Harraz Arman turut menyertai Sabah dengan kontrak selama empat tahun dan pemain itu dijangka dipinjamkan kembali ke skuad Projek FAM-MSN musim hadapan bagi mendapatkan minit bermain yang lebih banyak.- MalaysiaGazette