Izzana Salleh Wan Izzana Fatimah Zabedah Mohamad Salleh as the Independent Non-Executive Director of the Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC)

KUALA LUMPUR – Dua tokoh wanita hari ini secara terbuka menyokong pelantikan Wan Izzana Fatimah Zabedah Mohamad Salleh sebagai Ahli Lembaga Pengarah Bukan Eksekutif Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Menurut bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MDEC, Datuk Yasmin Mahmood, Wan Izzana mendapat pendidikan di Universiti Harvard dan merupakan wanita bijak dan berbakat besar.

Malah beliau percaya Wan Izzana mampu membawa perubahan kepada MDEC.

“Dia (Wan Izzana) bukan sahaja seorang wanita muda yang berkelayakan tinggi dan berprestasi tinggi, dia juga mempunyai keazaman yang kuat untuk memacu perubahan,” ciapnya di Twitter.

Dalam pada itu, bekas penasihat khas kesihatan kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Dr Jemilah Mahmood turut mengulangi ciapan Yasmin.

Beliau menyifatkan Wan Izzana merupakan seorang pemimpin yang boleh membawa perubahan atas keperibadian yang kuat serta kelayakan yang tinggi.

Semalam, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata pelantikan anak Tan Sri Sharizat Abdul Jalil itu dibuat berdasarkan merit dan kelayakan.

Annuar Musa menjelaskan, pelantikan itu dibuat oleh Kementerian Kewangan mengikut peraturan sedia ada dengan berlandaskan rekod prestasi dan pengalaman Wan Izzana.

Menurut Annuar lagi, jawatan yang disandang Wan Izzana  bukan eksekutif dan tidak memberikannya kuasa mengendalikan operasi harian syarikat.

Sebelum itu, beberapa ahli Parlimen pembangkang ketika sesi perbahasan membangkitkan isu pelantikan Wan Izzana dalam MDEC antaranya Kasthuri Patto dan Tan Yee Kew.

Pelantikan Izanna menjadi pertikaian memandangkan beliau merupakan anak kepada bekas Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Komuniti yang juga bekas Ketua Pergerakan Wanita UMNO.

Kerajaan Malaysia sebelum ini menuntut semula hutang RM253.6 juta daripada National Feedlot Corporation (NFC) dengan Izzana sebagai ahli lembaga pengarahnya ketika itu dan juga antara defendan kes tersebut. – MalaysiaGazette