KUALA LUMPUR – Perundingan mengenai pelaksanaan konsep rangkaian tunggal 5G atau Rangkaian Borong Tunggal (SWN) menerusi Digital Nasional Bhd (DNB) sebagai pelaksana projek itu telah dilaksanakan awal tahun ini, kata Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah.

Menjelaskan perkara itu, Saifuddin yang merupakan Menteri Komunikasi dan Multimedia pada Februari 2020 hingga Ogos lepas, berkata perbincangan itu melibatkan KKMM, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dan Kementerian Kewangan (MOF), diadakan sebelum mesyuarat Kabinet pada 3 Feb.

“KKMM, SKMM (MCMC) dan Kementerian Kewangan berbincang bersama sebelum mesyuarat Kabinet pada 3 Feb 2021, di mana keputusan menubuhkan sebuah syarikat ‘Special Purpose Vehicle’ (kini dinamakan DNB) dibuat.

“Saya juga terlibat dalam langkah-langkah seterusnya dan diberi taklimat oleh DNB dan EY (Ernst & Young Consulting Services Sdn Bhd) tentang pelan pelaksanaan selanjutnya,” katanya menerusi ciapan di Twitter rasmi hari ini.

Semalam, Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam catatan di media sosial menjelaskan, konsep berkenaan merupakan cadangan yang dikemukakan oleh MCMC dalam Laporan Akhir Peruntukan Jalur Spektrum untuk Perkhidmatan Jalur Lebar Mudah Alih, yang diterbitkan pada waktu itu.

Katanya laporan itu mencadangkan supaya entiti tunggal dibentuk oleh sebuah konsortium 5G yang terdiri daripada syarikat telekomunikasi, berbanding menganugerahkan spektrum 5G secara individu.

Tengku Zafrul berkata KKMM turut maklum bahawa sebuah syarikat tujuan khas (SPV) yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan, akan dilantik bagi melaksanakan infrastruktur rangkaian 5G tunggal ke seluruh negara.

Pada 1 Mac lepas, Tengku Zafrul berkata MOF telah mengumumkan penubuhan DNB sebagai pengendali SWN 5G yang berasaskan model pemulihan kos, berteraskan penawaran dan bukannya berdasarkan model keuntungan maksimum.

Tengku Zafrul mengulas perkara itu sebagai merujuk kepada kenyataan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin pada sesi Dewan Rakyat pada Khamis lepas, bahawa tiada perundingan antara MOF dan KKMM mengenai pelantikan DNB sebagai pelaksana rangkaian dan infrastruktur 5G melalui model SWN.

— BERNAMA