Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar bercakap pada sidang media seleoas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Tanjong Karang dan Majlis Penyerahan ID dan Password Tutor Mahir di Institut Pengurusan Peladang Tanjong Karang, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 11 DISEMBER 2021.

TANJUNG KARANG – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar mendedahkan beliau pernah menyatakan kepada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang agar kerjasama politik kedua-dua parti itu di Selangor diteruskan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Noh berkata, perkara itu disampaikannya sendiri dalam pertemuan dengan pemimpin Pas itu di Parlimen awal tahun ini dan maklum balas yang diterimanya sangat positif agar pertembungan Pas dan UMNO di Selangor dapat dielakkan.

“Saya telah sampaikan juga kepada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, saya jumpa beliau dan saya beritahu, di Selangor Pas dengan UMNO jangan bertembung.

“Memang kita tak mahu bertembung, kita nak elakkan pertembungan antara UMNO dengan Pas, kalau bertembung saya bimbang nanti orang lain yang akan menang.

“Saya bagi (surat) kepada Hadi awal tahun ini, saya jumpa tahun ini, tapi saya sudah jumpa, beliau pun pada dasarnya nampak okay boleh bincang,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Tanjung Karang, Institut Pengurusan Peladang Tanjung Karang.

Dalam pada itu, Noh juga mengakui UMNO dan Pas di Selangor masih mempunyai hubungan baik dan mahu meneruskan kerjasama bagi merampas Selangor daripada Pakatan Harapan (PH).

“Alhamdulillah hubungan kita rapat dan kita masih berkomunikasi dan kita juga akan bincang untuk pemilihan bagi mengisi kekosongan di peringkat pusat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette