Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran bersama Ketua Wanita MIC Kebangsaan, Datuk Mohana Muniandy bergambar beramai-ramai selepas merasmikan Briged Wanita MIC Kebangsaan ketika di Wisma MCA, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 11 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Ketua Wanita MIC, Datuk Mohana Muniandy yang baharu memenangi jawatan tersebut pada Oktober lalu berkobar-kobar mahu membawa perubahan kepada sayap tersebut.

Menurutnya, kemenangan yang diberikan kepadanya satu tanggungjawab besar apatah lagi negara akan berdepan dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15)  kelak.

“Keadaan politik negara yang agak tidak menentu dengan pertukaran kerajaan begitu kerap malah rakyat telah ditipu dengan pelbagai janji kosong manifesto pada PRU lepas sebenarnya akhirnya membantutkan pelbagai transformasi termasuklah untuk kaum hawa.

Ketua Wanita MIC Kebangsaan, Datuk Mohana Muniandy bercakap kepada media selepas perasmian Briged Wanita MIC Kebangsaan ketika di Wisma MCA, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 11 DISEMBER 2021.

“MIC pula ketika ini adalah satu-satunya wadah politik terbaik bagi masyarakat india di negara ini. Kita sebenarnya serba boleh dalam mengharungi apa jua rintangan atau perjalanan sukar kerana mempunyai pengalaman selama lebih 76 tahun.

“Inilah sebenarnya MIC dan kita sayap Wanita juga memainkan peranan cukup penting, perubahan dan transformasi ini hanya akan dapat kita bawa seandainya kita benar-benar all out dan itulah juga yang akan saya lakukan bersama-sama pasukan wanita saya pada hari ini,” katanya ketika ditemui selepas selesai Perhimpunan Agung Agung Wanita MIC Kebangsaan yang ke-36 di sini hari ini.

Menurut Mohana, mandat yang diberikan amatl dihargai dan mereka akan terus berusaha untuk menyampaikan, melaksanakan dan apa juga yang termampu untuk diberikan kepada kemajuan parti dan Wanita MIC agar dapat menikmati kemajuan seiring dengan agenda kerajaan dalam transfomasi masa kini.

Sambungnya, dirinya cukup teruja untuk kembali mengetuai sayap wanita dan kepercayaan yang telah diberikan kepadanya akan digunakan sehabis baik bagi memartabatkan kaum Hawa di negara ini terutamanya masyarakat India.

“Saya cukup bangga kembali sebagai Ketua Wanita MIC Kebangsaan. Slogan Vetri Magalir merupakan kata-kata keramat dan menjadi titik tolak bermulanya kempen kami. Vetri atau kejayaan untuk kami, parti MIC, setiap ahli Wanita MIC dan Barisan Nasional.

“Kemenangan kami adalah adil dan saksama tanpa sebarang bentuk unsur tidak sihat. Manifesto Vetri Magalir merupakan satu janji dan komitmen dari kami dan saya sendiri akan pastikan ia tercapai.

“Perjuangan saya dalam mengangkat martabat wanita tidak pernah lenyap malah semakin meluap- luap bersama mandat yang telah diberikan malah saya akan terus berusaha dengan lebih gigih lagi bagi memastikan segala impian kita akan tercapai,” ujarnya.

Seramai lebih 300 perwakilan yang hadir juga bersemangat bukan sahaja untuk menghadapi PRU-15 tetapi untuk turunpadang menemui pengundi wanita kelak.

Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran (dua kiri) bersama Ketua Wanita MIC Kebangsaan, Datuk Mohana Muniandy (dua kanan) selepas merasmikan Briged Wanita MIC Kebangsaan ketika di Wisma MCA, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 11 DISEMBER 2021.

Sebuah pasukan khas yang di gelar Briged Wanita MIC dengan penglibatan bukan sahaja ahli sebaliknya penyokong serta perserta turut dilancarkan oleh Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran hari ini.

Seramai 1,500 perwakilan daripada sayap Pemuda, Wanita, Putera dan Puteri telah menghadiri Mesyuarat Perwakilan Sayap berkenaan sementara Perhimpunan Agung Tahunan parti itu akan diadakan esok. -MalaysiaGazette