BERA – Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) yang melibatkan 222 lokasi sampai di Bera, hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata, program diteruskan sehingga Mac 2022 sebagai inisiatif Kerajaan untuk membantu meringankan kos sara hidup rakyat terutama mereka dalam kalangan berpendapatan rendah.
“Program ini merupakan kerjasama di antara KPDNHEP, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) serta agensi-agensi di bawahnya dalam menangani situasi kenaikan harga barangan yang melanda dunia dan Malaysia.
“Program ini juga dirancang untuk dilaksanakan dua kali sebulan untuk tempoh tiga bulan bermula 4 Disember 2021 hingga Mac 2022 merangkumi kesemua 222 kawasan parlimen di lokasi-lokasi yang akan ditentukan dan diumumkan kelak,” katanya menerusi kenyataan.
Beliau yang merupakan Ahli Parlimen Bera hadir pada walkabout Program Jualan Keluarga kendalian Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pahang.
Terdahulu, program yang bermula 4 Disember lalu menawarkan pilihan kepada pengguna untuk mendapatkan pelbagai barangan keperluan harian pada harga yang lebih rendah sehingga 20% daripada harga pasaran setempat.
Dalam pada itu, KPDNHEP Pahang dalam satu kenyataan mengingatkan peniaga agar sentiasa beretika mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan kerajaan.
Menurutnya, rakyat perlu bersabar dan terus bersama kerajaan pada waktu sukar yang luar biasa ini yang turut melanda dan memberi kesan kepada rantaian bekalan dunia dan negara.
Tambahnya, pegawai penguatkuasa KPDNHEP akan terus melaksanakan pemantauan dan pemeriksaan bagi memastikan bekalan sentiasa stabil dan tiada elemen pencatutan dalam pasaran. – MalaysiaGazette















