Prof. Dr. Teo Kok Seong

KUALA LUMPUR – Cadangan pelantikan warden asrama dalam kalangan pesara komando secara khusus bukanlah idea yang terbaik dalam menangani isu buli di sekolah.

Ini kerana konotasi ‘komando’ itu sendiri seolah-olah menggambarkan persekolahan di negara ini berada dalam keadaan amat teruk, Felo Utama Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong.

“Komando ini tidak sesuai kerana imejnya yang keras dan kasar. Dalam hal berkaitan disiplin pelajar, kita tidak boleh tangkap muat sahaja dalam menangani masalah.

“Buli ini adalah isu warisan, lama dah sejak dahulu sehingga sekarang. Oleh sebab itu, kita perlu lihat rantaian isu buli ini. Kitarannya perlu diputuskan secara total.

“Dari mana permulaan rantaian ini? Ia dari kehidupan remaja atau pelajar itu sendiri. Ia mungkin bermula dari rumah atau dari sekolah,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Sehubungan itu, jelas beliau, isu buli dan pembuli ini perlu ditangani dengan menyeluruh membabitkan semua pihak yang terlibat.

“Bukannya dengan menggunakan bekas-bekas komando masalah selesai, tidak, bukan begitu caranya.

“Janganlah kerana panik timbul cadangan-cadangan yang tidak sesuai dalam mendidik generasi muda kita. Membawa masuk askar dalam kehidupan sivil tidak sesuai,” tambah beliau lagi.

Berkongsi pengalamannya dalam isu buli ini, Kok Seong berkata, kebanyakan pembuli ini ada sejarah dibuli atau perasaan mereka ditekan atau ditindas – sama ada di rumah atau di sekolah.

Jika pelajar ini tidak tertekan di rumah, ada besar kemungkinan dia berdepan dengan masalah di sekolah termasuk ditindas oleh guru-guru, selain rakan-rakan.

“Sebab itulah saya katakan isu buli ini ada rantaian dan puncanya perlu dicari untuk diselesaikan dan pada masa sama perkukuhkan sistem pendidikan dan keagamaan.

“Paling penting jadikan institusi kekeluargaan dan pendidikan sebagai tempat yang selamat dan bahagia, maka isu buli akan ditangani secara perlahan-lahan,” tambah beliau.

Mohd Ali Hassan

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa Guru Nasional (PIBGN), Datuk Mohd Ali Hassan menegaskan sudah sampai masanya, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mewujudkan jawatan warden yang terlatih, memiliki multi tasking dan berkeupayaan mengesan dan mencegah aktiviti buli dengan skim perkhidmatan yang menarik.

Bagaimanapun, warden tidak semestinya seorang bekas komando.

“Tidak semestinya komando yang berdispin serta patuh kepada ‘ketua’ dapat mendisiplin  anak-anak remaja dan pelajar kita.

”Kita lihat kes buli di maktab tentera dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia serta beberapa kes buli di sekolah-sekolah agama. Kejadian-kejadian itu jelas menunjukkan masalah disiplin dan buli tetap berlaku di mana-mana,” ujar beliau.

Namun, tambahnya, sudah sampai masanya tugas warden tidak diberikan kepada guru-guru yang mempunyai tugas hakiki untuk dilaksanakan.

Tetapi pada masa sama KPM perlu menekankan bahawa semua guru adalah guru disiplin supaya guru-guru lain tidak lepas tangan kepada guru disiplin sahaja untuk membendung masalah ini.

Pada masa sama, beliau mahu KPM memastikan bilangan guru kaunseling yang terlatih mencukupi di setiap sekolah dalam usaha memantau dan menangani isu-isu membabitkan disiplin pelajar.- MalaysiaGazette