Dua dari tiga suspek yang terlibat dalam isu kartel daging tiba di Mahkamah Sesyen kira-kira 9 pagi tadi.

JOHOR BAHRU – Sebuah syarikat pembekal daging sejuk beku, pengurus dan akauntannya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas 16 pertuduhan penggubahan wang haram berjumlah RM13.28 juta yang didakwa dilakukan antara Oktober 2018 sehingga Disember 2020.

Ketiga-tiga tertuduh dari Syarikat LY Frozen Food Sdn Bhd, diwakili pengarahnya Yong Chee Keong, 40; pengurus stor Chong Kim Kuang, 48, dan akauntan Ng Yee Xin, 37, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Fatimah Zahari selepas kesemua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Fatimah Zahari.

 

Kesemua tertuduh menghadapi empat pertuduhan setiap seorang.

Mengikut kertas pertuduhan, syarikat dan tiga tertuduh bersama seorang lagi yang masih bebas, didakwa menerima wang tunai masing-masing berjumlah RM446,517.19, RM6.75 juta, RM2.78 juta dan RM3.37 juta membabitkan nilai keseluruhan RM13.28 juta.

Hakim turut memerintahkan waran tangkap dikeluarkan terhadap Siew Huak, yang gagal menghadiri kesemua prosiding kes membabitkan kartel daging sejak ia dibawa ke mahkamah pada Februari lalu.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di dua bank di Senai, Kulai dan Taman Molek, di sini, antara Oktober 2018 hingga Disember 2020.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 [Akta 613], yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan boleh di penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan dilakukan atau RM5 juta atau mana-mana lebih tinggi.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Noor Raihan Rithuwan dan Norazihah Asmuni manakala kesemua tertuduh kecuali Siew Wak yang masih bebas diwakili Peguam, Zamri Idrus dan Saifuzaman Ab Rahman.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya memohon mahkamah mengenakan jaminan RM1 juta ke atas ketiga-tiga tertuduh yang hadir prosiding kes berkenaan.

Bagaimanapun, peguam yang mewakili LY Frozen, Kim Kuang dan Chee Keong
memohon mahkamah menggunakan pakai wang jaminan sebelum ini berikutan mereka telah membayar jaminan RM660,000 untuk pertuduhan sebelum ini.

Peguam turut memohon supaya jaminan ke atas Yee Xin ditetapkan pada kadar antara RM50,000 hingga RM60,000 berikutan wanita berkenaan sudah tidak lagi bekerja.

Hakim kemudian memerintahkan jaminan lama digunakan ke atas Kim Kuang dan Chee Keong.

Manakala jaminan sebanyak RM100,000 dikenakan terhadap Yee Xin, dengan syarat tambahan iaitu melapor diri ke balai polis terdekat pada minggu pertama setiap bulan serta pasport diserahkan kepada mahkamah.

Sebutan semula kes disambung esok.

Pada 2 Disember lalu, media melaporkan mengenai kewujudan kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina.

Kartel berkenaan kemudian membungkus semula daging itu menggunakan logo halal sebelum menjualnya ke pasaran seluruh Malaysia sebelum ia terbongkar hasil serbuan bersepadu pihak berkuasa di sebuah gudang di Senai, di sini.- MalaysiaGazetee