Home Nasional Pemandu kereta lawan arus, rempuh kenderaan dikenalpasti

Pemandu kereta lawan arus, rempuh kenderaan dikenalpasti

KUALA LUMPUR – Polis berjaya mengesan dan mengenalpasti pemandu sebuah kereta yang dipandu melawan arus dan mengakibatkan kemalangan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, pada kira-kira jam 2.40 petang tadi, pihaknya mengesan rakaman video yang tular di media sosial (TikTok) berkaitan insiden yang berlaku di Bulatan Cheras pada waktu malam.

“Video berdurasi 1 minit 28 saat itu menunjukkan satu kemalangan melibatkan dua buah kenderaan yang mana salah satu kenderaannya dipandu secara melawan arus.

“Rakaman video tersebut dikesan melalui pengguna akaun TikTok @orangtua95,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, berikutan penularan video itu, JSPT KL mendapati kejadian yang tular berlaku pada jam 8.28 malam semalam di Bulatan Cheras.

“Pihak yang terlibat telah berjaya dikesan dan dipanggil hadir ke Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S Lee bagi melengkapkan siasatan polis berhubung kejadian lawan harus yang mengakibatkan kemalangan itu,” ujarnya.

Menurut Sarifudin, kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat kes tersebut boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S Lee di talian 03-2071 9999 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette