Nga Kor Ming

IPOH – Pemimpin pembangkang negeri ini mengakui kegagalan projek taman tema Movie Animation Park Studios (MAPS) di Meru bukan salah kerajaan negeri sedia ada.

Namun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Aulong, Nga Kor Ming berharap kegagalan projek itu tidak diulangi yang menyebabkan kerajaan negeri kini menanggung hutang.

Beliau menjelaskan, taman tema yang ditutup pada Januari tahun lalu pernah dibantah pembangunannya oleh pembangkang dan kini akhirnya menjadi projek gajah putih.

Jelas beliau, penutupan projek itu menyebabkan anak syarikat kerajaan negeri, Perak Corporation Berhad (PCB) berhutang sebanyak RM810 juta.

“Saya hendsk tahu macam mana kerajaan negeri nak bayar (hutang). Ini bukan salah Yang Berhormat Kota Tampan (Menteri Besar).

“Dahulu berpuluh-puluh kali kami di sebelah sini (pembangkang) telah menegur supaya kerajaan jangan buat projek gajah putih. Sekarang inilah akibatnya, hutang kita sekarang RM810 juta.

“Macam mana kita nak bayar?. Nanti semua wang negeri habis hanya untuk langsaikan hutang oleh satu syarikat sahaja. Ini kita perlu ambil iktibar, jangan lagi ulangi kesilapan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang Dewan Undangan Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

MAPS yang dibuka Jun 2017 sepatutnya menjadi tarikan utama pelancong ke Perak namun disebabkan masalah kewangan, taman tema itu akhirnya ditutup pada Januari tahun lalu.

Sebelum ini, media melaporkan, Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, MAPS bukan di bawah kendalian kerajaan.

“Saya tidak boleh menjawab, ia bukan perkara di bawah kerajaan negeri. Ia di bawah PCB (Perak Corporation Berhad), namun saya harap pihak yang terlibat selesaikan,” katanya.

Notis penutupan MAPS mulai 28 Januari 2020 sehingga ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan kelak dikeluarkan oleh The Receiver and Manager Animation Theme Park Sdn. Bhd. (ATP) daripada Messrs Ernst & Young.

Menurut notis tersebut, tiada tempoh ditetapkan terhadap penutupan taman tema tersebut sehingga diberitahu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast