Datuk Aidi Ismail

KUCHING – Polis Sarawak telah meluluskan 2,295 permit kempen kepada calon dan parti yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN12) dalam tempoh sejak hari penamaan calon 6 Disember lepas hingga semalam.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail berkata, polis juga terpaksa menolak beberapa permohonan untuk mengadakan ceramah atau perhimpunan, kerana lokasinya yang tidak sesuai seperti surau atau masjid.

“Sepanjang tempoh lapan hari berkempen, 10 kompaun berjumlah RM35,000 telah dikeluarkan terhadap mereka yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) pilihan raya,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di sini, hari ini.

Pihak polis menurutnya telah membuka 46 kertas siasatan atas pelbagai kesalahan semasa PRN12 termasuk salah guna media sosial dan kes fitnah, serangan peribadi serta merosakkan poster atau bendera parti lawan.

Aidi berkata sejak hari penamaan calon pada 6 Dis sehingga kini keadaan masih terkawal, dan beliau berharap semua pihak mematuhi SOP ditetapkan semasa kempen.

— BERNAMA