Keadaan bot gentian kaca yang dinaiki enam lelaki termasuk tekong terbalik akibat dipukul ombak di perairan Tanjung Dawai, Kedah hari ini.

SUNGAI PETANI – Aktiviti memancing lima sahabat ke Tuas, bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka ditemui mati lemas di perairan Tanjung Dawai, di sini, hari ini.

Kejadian berlaku kira-kira jam 11.10 pagi apabila bot yang dinaiki enam lelaki termasuk seorang tekong itu terbalik akibat dipukul ombak di kedudukan 5.5 batu nautika barat daya Jeti Tanjung Dawai.

Mangsa yang lemas ialah Muhamad Ridhwan Mokhtar, 38, manakala lima mangsa yang terselamat ialah tekong bot, Che Roslan Hashim, 49, Engku Mohamad Farizam Fadilah, 19; Hafizul Ajis Samsudin, 31; Mohd Firdaus Zainal Abidin, 36; dan Zulkifli Ahmad, 45.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintendan Anuar Abdul Rahman berkata, hasil temubual tekong memberitahu bot yang dinaiki mereka berlepas dari Jeti Teluk Bayu Batu Lintang, Tikam Batu pada jam 10 pagi menuju ke Tuas iaitu kira- kira dua kilometer dari Pulau Sayak untuk aktiviti memancing.

Kata beliau, bagaimanapun sebaik tiba di perairan Tanjung Dawai, bot yang dinaiki enam lelaki termasuk tekong itu terbalik akibat dipukul ombak setinggi dua meter.

Mayat Muhamad Ridhwan dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk proses bedah siasat.

“Akibat pukulan ombak itu kesemua mangsa terjatuh dalam laut sebelum tekong menelefon pihak Maritim (APMM) untuk bantuan.

“Pada jam 12 tengah hari, bot APMM bersama empat KRU tiba di lokasi dan menyelamatkan kesemua mangsa terbabit.

“Daripada enam lelaki itu, empat mangsa berada dalam keadaan stabil, seorang cedera manakala seorang lagi disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Tambah Anuar, mangsa yang cedera yang berusia 31 tahun itu dibawa oleh bot lain untuk ke darat bagi mendapatkan rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH).

“Selain itu, kita turut maklumkan kejadian kepada waris mangsa yang meninggal dunia sebelum mereka hadir bagi membuat pengecaman.

“Mayat mangsa turut dihantar ke hospital sama bagi tujuan bedah siasat,” ujar beliau.

Sementara itu, Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada pemilik bot tersebut kira-kira jam 11.15 pagi tadi.

“Bot Perkasa 1221 APMM Pulau Pinang dan bot Perkasa 1226 Zon Maritim Kuala Kedah diatur gerak ke lokasi kejadian dan kita temui bot berkenaan dalam keadaan terbalik pada jam 12.20 tengah hari.

“Semua mangsa ditemui memakai jaket keselamatan termasuk mangsa lemas,” kata beliau. – MalaysiaGazette