Sergio Aguero hanya sempat beraksi selama 45 minit di atas padang dalam aksi julung menentang Alvero di Nou Camp sebelum berehat tiga bulan akibat masalah kesihatan jantung. -Reuters

MADRID – Bintang Barcelona, Sergio Aguero hari ini mengumumkan persaraan selama-lamanya dari dunia bola sepak.

Pemain berusia 33 tahun itu menangis selepas tidak dapat menahan kesedihannya terpaksa menggantung but lebih awal berikutan keadaan kesihatan jantung yang tidak mengizinkannya meneruskan aktiviti bola sepak.

Bekas legenda Manchester City yang diangkat sebagai penjaring gol sepanjang hayat semasa bersama kelab Etihad Liga Perdana Inggeris (EPL) itu telah menyertai the Catalans secara percuma Ogos lalu.

Namun dalam penampilan sulungnya menentang Alaves pada Oktober lalu, dia terpaksa dikeluarkan awal ketika kedua-dua pasukan terikat 1-1 di atas padang selepas rebah akibat sakit dada.

Bintang Argentina itu dirujuk ke hospital untuk ujian jantung sebelum dinasihati berehat selama tiga bulan.

Namun, menantu bekas legenda bola sepak Argentina, mendiang Diego Maradona itu tidak dapat kembali ke padang selepas keadaan kesihatan jantung tidak mengizinkannya.

Keadaannya memaksa pemain itu dengan berat hati terpaksa mengambil keputusan untuk bersara daripada dunia bola sepak dalam majlis khas di Nou Camp hari ini.

Aguero menangis ketika tampil di hadapan para penyokongnya ketika membuat pengumuman itu.

“Ini satu situasi yang sangar sukar tapi terpaksa. Saya sangat sedih  tetapi tiada pilihan lain kerana faktor kesihatan saya.

“Saya telah menerima rawatan daripada pegawai perubatan yang gigih menyembuhkan saya dan mereka menasihati saya berhenti melakukan segala aktiviti bola sepak secepat mungkin.

“Saya memang berat hati menerima nasihat itu tetapi selepas ambil kira tahap kesihatan jantung saya daripada doktor, saya terpaksa meninggalkan bola sepak hari ini.

“Saya sebenarnya sudah membuat ketetapan ini minggu lalu walaupun mengharapkan ada cahaya di hujung terowong boleh sembuh sepenuhnya tetapi situasi tidak seperti yang diharapkan sehingga memaksa saya menggantung but,” sebak Aguero.

Pengurus Manchester City, Pep Guardiola selaku bekas jurulatih Aguero turut hadir ke sidang media khas Aguero.

Kelab the Citizens yang mengikuti sidang media Aguero merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas sumbangan Aguero yang sangat luar biasa di Etihad sebelum ini.-SkySport