Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Eksport getah asli Malaysia bagi bulan Oktober 2021 berjumlah 62,167 tan metrik pada Oktober 2021 menurun 0.3 peratus berbanding September 2021 (62,332 tan metrik).

Prestasi eksport disumbangkan oleh produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan getah, tayar, tiub, benang getah dan kondom.

Produk sarung tangan getah merupakan eksport utama dengan nilai sebanyak RM2.6 billion pada Oktober 2021, menurun sebanyak 15.0 peratus berbanding September 2021 (RM3.1 billion).

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, pengeluaran getah asli meningkat 4.7 peratus pada bulan Oktober 2021 (43,127 tan metrik) berbanding pada bulan September 2021 (41,180 tan metrik).

Sebaliknya, pengeluaran tahunan menurun 13.6 peratus berbanding 49,943 tan metrik bulan yang sama pada tahun 2020.

Beliau menambah, pengeluaran getah asli Malaysia pada Oktober 2021 disumbangkan terutamanya oleh sektor pekebun kecil (90.5%) peratus berbanding sektor estet sebanyak (9.5%).

Jumlah stok getah asli menurun 3.6 peratus pada Oktober 2021 kepada 281,723 tan metrik berbanding 292,312 tan metrik pada September 2021.

Kilang pemproses getah menyumbang stok akhir sebanyak 92.0 peratus diikuti kilang pengguna getah (7.9%) dan estet getah (0.1%).

China terus mendominasi sebagai pengimport tertinggi getah asli iaitu 56.8 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport pada Oktober 2021 diikuti Pakistan (3.2%), Amerika Syarikat (3.0%), Iran (2.7%) dan Jerman (2.1%).

Analisis kepada perbandingan harga purata bulanan menunjukkan lateks pekat merekodkan peningkatan sebanyak 4.8 peratus (Oktober 2021: 521.20 sen sekilogram, September 2021: 497.24 sen sekilogram) dan sekerap sebanyak 7.5 peratus (Oktober 2021: 578.52 sen sekilogram, September 2021: 538.08 sen sekilogram).

Keadaan yang sama turut berlaku kepada semua jenis Getah Mutu Malaysia (G.M.M) yang meningkat antara 4.7 hingga 6.7 peratus. G.M.M. 20 merekodkan peningkatan tertinggi 6.7 peratus (Oktober 2021: 714.08 sen sekilogram, September 2021: 668.98 sen sekilogram).

Prestasi pertumbuhan pengeluaran getah asli Malaysia dalam tempoh 10 bulan pertama 2021 mencatatkan penurunan 5.9 peratus berbanding tempoh yang sama tahun 2020 (Januari-Oktober 2021: 397,486 tan metrik, Januari-Oktober 2020: 422,324 tan metrik). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast