Ketua Pegawai Eksekutif Sri pahang FC, Datuk Ahmad Suffian Awang (dua dari kiri)

KUANTAN – Syarikat pembekal peralatan sukan, Hakka Clo Plt menaja kelengkapan bagi semua pemain pasukan Sri Pahang FC (SPFC) bagi saingan Liga Malaysia musim 2022 dan 2023.

Tajaan itu bernilai RM1,131,533, kata Ketua Pegawai Eksekutif SPFC, Datuk Ahmad Suffian Awang.

“Pemilihan ini berdasarkan pengalaman Hakka Clo telah beroperasi lebih dari 10 tahun dalam perniagaan dan pembekalan kelengkapan sukan dan dibantu oleh 50 rakan pengedar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Lounge SPFC yang turut dihadiri Pengerusi SPFC, Datuk Raja Shaharudin Shah Raja Jalil Shah.

Pada majlis menandatangani penajaaan tersebut, SPFC telah diwakili oleh Ahmad Suffian manakala Hakka Clo Plt diwakili oleh ketua pegawai eksekutifnya, Noor Soallihin Mohamed.

Dalam pada itu, Ahmad Suffian masih belum bersedia untuk mengumumkan senarai pemain baharu yang dipertaruhkan SPFC dalam saingan Liga Malaysia akan datang.

Pihaknya akan mengumumkan perkara itu apabila segalanya sudah dimuktamadkan.

Azwan Aripin, Fandi Othman dan David Rowley antara nama yang disebut-sebut manakala Manuel Hidalgo dan Muslim Ahmad dijangka akan kekal dalam Skuad Tok Gajah.

“Jadi biarlah kita selesaikan dulu urusan kontrak sebagainya dan kemudian, saya sendiri akan panggil rakan-rakan media mengumumkan secara serentak.

“Kita tidak mahu nanti menganggu proses rundingan dan mungkin juga menyebabkan pemain disailang pasukan lain,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast