Abdul Azeez Abdul Rahim

KUALA LUMPUR – Punca berlaku aktiviti pemerdagangan orang dan penyeludupan migran secara berleluasa kerana harga dikenakan ejen untuk rakyat Malaysia mendapatkan khidmat pembantu rumah terlalu tinggi.

Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) memberitahu Dewan Rakyat, beliau terkejut apabila ejen mengenakan harga RM20,000 hingga RM30,000 untuk seorang pembantu rumah asing warga Indonesia atau Filipina.

Justeru, beliau menyambut baik dan menyokong hasrat Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk meminda seksyen 12, 13 dan 14 bagi mengenakan hukuman lebih berat ke atas mereka yang terlibat dalam aktiviti pemerdagangan orang dan penyeludupan migran secara haram.

Katanya, hukuman di bawah seksyen itu sebelum pindaan itu hanya tiga tahun hingga 20 tahun sahaja dianggap terlalu ringan dan tidak memeritkan golongan tertentu terlibat secara lebih aktiviti memerdagang dan menyeludup pendatang asing.

“Dengan pindaan yang dilakukan di Dewan Rakyat hari ini, hukuman bagi tiga seksyen itu dinaikkan kepada lima tahun hingga seumur hidup,” katanya dalam sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran pindaan 2021 di Parlimen petang ini.

Menurut Abdul Azeez, jika tiada usaha untuk meminda RUU itu, beliau bimbang kemungkinan kawasannya di Baling akan berlaku sebagaimana peristiwa tragis di Bukit Genting Perah, Wang Kelian.

Katanya, dalam kejadian itu, lebih 150 mayat warga asing ditemui dikebumikan dalam satu kubur besar dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan dan penyeludupan orang. – MalaysiaGazette