Asisten Komisioner Cha Hoong Fong

KLANG – Polis berjaya menyelesaikan 10 kes pecah rumah di sini dengan tertangkapnya seorang individu yang dikenali sebagai Ah Ton Exora yang sebelum ini giat menjalankan kegiatan jenayah itu.

Ketua Polis Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, penangkapan itu dibuat selepas pihaknya menerima laporan kes pecah rumah di Bandar Putera 2, di sini, 3 Disember lalu.

“Dalam kejadian 3 Disember lalu, pengadu lelaki telah meninggalkan rumahnya di Bandar Putera 2 Klang pada pukul 8.30 pagi dalam keadaan berkunci.

“Ketika pengadu pulang ke rumah pada kira-kira jam 5.50 petang mendapati pintu pagar dalam keadaan terbuka dan mangga pintu grill serta sliding door telah dirosakkan.

“Pengadu membuat pemeriksaan di dalam rumah mendapati satu utas gelang tangan emas, sepasang subang emas dan wang tunai RM1,000 hilang,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan hari ini.

Menurutnya, selain Ah Ton, pihaknya turut memberkas sepasang suami isteri serta seorang lelaki yang merupakan pembeli barang curi dalam kes tersebut.

“Tangkapan keempat-empat suspek dibuat pada 6 Disember lalu di sekitar Klang dan Kuala Lumpur.

“Antara barang rampasan dibuat ialah peralatan pecah rumah, penimbang berat emas, tiga telefon bimbit, beberapa potong emas yang belum dileburkan kira-kira seberat 40.67 gram, resit jualan gadaian emas serta wang tunai RM12,200,” katanya.

Antara barang yang berjaya dirampas oleh pihak polis dalam satu sindiket pecah rumah yang dikenali sebagai ‘Ah Ton Exora’ ketika sidang media di Ibu Pejabat Daerah Klang, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 15 DISEMBER 2021.

Katanya lagi, suspek dikenali dengan nama Ah Ton itu mempunyai 14 rekod lampau berkaitan jenayah dan dua rekod lampau dadah.

“Suspek telah dituduh di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan kerana memiliki harta curi serta Seksyen 414 Kanun Keseksaan kerana melupuskan harta curi.

“Suspek juga dituduh di Mahkamah Majistret Klang pada 14 Disember lalu dan dia telah mengaku bersalah atas pertuduhan ke atasnya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette