Warga UMP menanam pokok kunyit hitam dan halia hitam dalam usaha melestarikan kampus di UMP.

KUANTAN – Sebanyak 1,802 pokok ditanam di Universiti Malaysia Pahang (UMP) hasil kerjasama dengan Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) dalam usaha melestarikan kampus universiti berkenaan.

Datuk Dr. Yuserrie Zainuddin yang menjalankan fungsi Naib Canselor UMP berkata, tanaman pelbagai jenis pokok ditanam di kawasan seluas 11.6 ekar yang dikenali Rimba Lestari itu turut menjadi tumpuan pelawat.

“Satu-satunya pokok Peluru Meriam (Cannon-Ball) atau nama saintifiknya Couroupita Guianensis yang terdapat di Rimba Lestari menjadi tumpuan pelawat ketika berkunjung ke kampus UMP.

“Spesies pokok unik yang berasal dari Amerika Selatan itu merupakan pokok asing yang terdapat di Malaysia memandangkan pokok ini hanya ditanam sebagai tanaman penyelidikan selain untuk tujuan kajian botanical,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambah Yuserrie, pokok tersebut hanya terdapat di beberapa lokasi antaranya di Taman Tasik Taiping, Taman Botani Pulau Pinang, Institut Penyelidikan Perhutanan (FRIM) dan Taman Pertanian Tenom Sabah.

Selain Peluru Meriam, Rimba Lestari juga ditanam dengan Tongkat Ali, Meranti Tembaga, Cengal, Beruas, Ketapang, Jelutong, Simpoh Air, Meranti Rambai Daun dan Sungkai yang merupakan antara 27 jenis pokok rimba dan pokok kayu tropika.

Dalam pada itu katanya, UMP turut menerima kunjungan delegasi Universiti Malaysia Kelantan (UMK) bagi menyaksikan inisiatif UMP dalam melestarikan kampus hijau baru-baru ini.

“Delegasi turut melawat beberapa kawasan hijau UMP seperti dusun buah-buahan, tapak ladang sayur-sayuran.

“Selain itu,  mereka turut mengunjungi Taman Arboretum Bioaromatik yang menempatkan tumbuhan beraroma dan herba untuk kegunaan ubat-ubatan atau pun masakan,” katanya.

Pihak UMP juga mengalu-alukan kunjungan delegasi dan semoga dengan kunjungan ini dapat bertukar-tukar pandangan dan input bagi merencanakan universiti sama ada dalam bidang penyelidikan mahupun kemajuan university. – MalaysiaGazette