Lim Guan Eng corruption trial Consortium Zenith Construction Penang undersea tunnel
Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini membenarkan permohonan pendakwaan untuk mengemukakan keterangan ahli perniagaan, mendiang Datuk Ewe Swee Kheng yang telah direkod ketika siasatan dilakukan ke atas kes rasuah projek terowong dasar laut Pulau Pinang yang membabitkan bekas Ketua Menteri, Lim Guan Eng

Pada 5 Oktober lalu, Swee Kheng yang merupakan pemaju hartanah maut setelah terjatuh dari kondominium di Jalan Kelawei, Pulau Pinang.

Sebelum ini pembelaan yang diketuai Gobind Singh Deo membantah permohonan pihak pendakwaan yang mahu mengemukakan keterangan Swee Keng kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Gobind menyatakan ia adalah rekaan SPRM.

Namun setelah meneliti kedua-dua hujah pendakwaan dan pembelaan, Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi membuat ketetapan membenarkan keterangan mendiang ditanda sebagai eksibit.

Gobind kemudian bangkit memohon untuk memanggil pegawai penyiasat SPRM yang menyiasat Swee Kheng bagi memberi keterangan.

Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shahruddin Wan Ladin tidak membantah.

Perbicaraan bersambung dengan bekas Pegawai Kewangan Pulau Pinang, Mokhtar Mohd Jait memberi keterangan.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Guan Eng didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Ketua Menteri Pulau Pinang telah menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan bagi dirinya sendiri wang berjumlah RM3.3 juta dengan mengambil tindakan bagi membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd. Zulkifli yang dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6.3 bilion.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar di Pulau Pinang mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Guan Eng didakwa semasa menjawat jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang telah meminta suapan iaitu balasan berjumlah 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh kelak daripada Zarul sebagai upah bagi melakukan perkara yang dicadangkan iaitu membantu syarikat milik ahli perniagaan tersebut dilantik untuk projek sama.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu  berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, di sini, pada Mac 2011, antara pukul 12.30 pagi hingga 2 pagi, mengikut Seksyen 16 Akta SPRM yang membawa hukuman penjara hingga 20 tahun atau denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Ahli Parlimen Bagan itu juga didakwa atas dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan negeri Pulau Pinang yang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri tersebut mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan.

Ia memperuntukkan hukuman penjara antara enam bulan dan lima tahun serta sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Guan Eng dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Tingkat 21, Komtar pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017. -MalaysiaGazette