Dechi Marcel. Foto Facebook KDA FC.

KUALA LUMPUR – Kelab Bola Sepak Kedah Darul Aman (KDA FC) mengumumkan pemain import baharu kedua mereka untuk saingan Liga Malaysia musim 2022 iaitu Dechi Marcel.

Pemain tersebut cukup popular dalam kalangan peminat bola sepak Terengganu dan digelar sebagai ‘Kante Ganu’.

Marcel yang berasal dari Ivory Coast itu memulakan karier di Liga Malaysia ketika dua musim bersama UiTM FC pada 2017 dan 2018.

Aksi cemerlang pemain tengah berusia 30 tahun itu mendapat perhatian pasukan Pantai Timur apabila diikat selama tiga tahun dengan Terengganu FC pada musim lalu.

Berdasarkan rekod, Marcel telah menjaringkan dua gol dalam 20 penampilan bersama Terengganu dalam saingan Liga Super.

Dia juga pernah dipilih sebagai pemain tengah terbaik bulanan Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia dan berada dalam kesebelasan utama terbaik mingguan pilihan Liga Bola Sepak Malaysia.

Beraksi di posisi tengah, kehadirannya dilihat mampu mengisi kekosongan bekas kapten Kedah, Baddrol Bakhtiar yang memilih untuk beraksi dengan pasukan Sabah FC musim depan.

Marcel kini berpeluang beraksi dalam saingan Piala AFC bersama Kedah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast