Hamran Peter. Foto Facebook Penang FC.
KUALA LUMPUR – Kelab Penang FC memperkenalkan seorang lagi pemain baharu iaitu Hamran Peter yang sebelum ini beraksi bersama Sabah FC bagi menghadapi Liga Super musim depan.
Hamran memulakan kerjayanya bersama skuad Piala Belia Sabah pada 2016 dan kemudian bersama skuad Piala Presiden Sabah selama setahun.
“Dia memulakan kerjaya profesionalnya bersama skuad utama pasukan Sabah pada tahun 2018 sehingga 2019 di mana pasukan Sabah muncul Juara Liga Premier bagi musim 2019.
“Kontraknya kemudian disambung bersama pasukan Liga Super Sabah FC dari tahun 2020 sehingga tamat musim ini,” kata Penang FC dalam satu hantaran di Facebook miliknya.
Penang FC sebelum ini kehilangan empat pemain utama iaitu Al-Hafiz Harun, Amer Azahar, Azmeer Aris dan Khairu Azrin Khazali kepada Kedah Darul Aman FC.
Sementara itu, Hamran yang berusia 24 tahun boleh beraksi di posisi penyerang dan pemain tengah.
Semalam, Penang FC turut memperkenalkan pemain baharu dari Sabah FC iaitu Azzizan Nordin.

Pemain tengah berusia 27 tahun itu memulakan kerjaya profesional bersama skuad Harimau Muda yang bermain di Liga Perdana Malaysia.

Sabah FC yang kini di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee mengumpul ramai pemain berpengalaman dan terkenal seperti Baddrol Bakhtiar, Rizal Ghazali, Dominic Tan, Irfan Fazail, Stuart Wilkin, Damien Lim dan penyerang muda negara, Azhad HarrazĀ  Arman dalam proses membina pasukan baharu pada musim depan. – MalaysiaGazette