ADUN Changkat Jering, Ahmad Saidi Mohamad Daud pada sidang media selepas selesa Sidang Undangan Dewan Negeri di Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan, Perak. Foto AMIRUL SHAUFIQ 15 DISEMBER 2021.

IPOH – Pusat Aspirasi Anak Perak (PASAK), agensi pelaksana yang berperanan dalam pembangunan modal insan, telah mengambil langkah drastik bagi memfokuskan isu pengangguran yang kian meningkat akibat penularan pandemik Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia negeri, Ahmad Saidi Mohamad Daud berkata, melalui PASAK kerajaan negeri telah mengambil pendekatan jangka pendek dan panjang dalam meningkatkan taraf sosio-ekonomi serta kehidupan rakyat dengan membawa peluang-peluang pekerjaan yang ditawarkan oleh industri selain komited untuk memfokuskan pembangunan modal insan yang berorentasikan bidang kemahiran.

Menurutnya, bagi meneruskan agenda pembangunan sumber manusia yang komprehensif, PASAK dalam perancangan utama agensi bagi tahun 2022 untuk menganjurkan jelajah kerjaya di 12 daerah di Perak dalam menawarkan peluang pekerjaan berpotensi terus kepada pencari kerja.

“PASAK juga akan menganjurkan dua siri temuduga terbuka setiap bulan samada secara fizikal atau atas talian bagi meningkatkan kadar kebolehpasaran pencari kerja selain pengiklanan jawatan-jawatan kosong melalui medium teknologi dan media sosial.

“Memahami kepentingan persediaan sumber manusia berkualiti, PASAK juga akan memfokuskan penganjuran program rintis kemahiran, pemetaan kerjaya di sekolah menengah, Xplorasi kampus dan klinik kerjaya yang secara tidak langsung dapat
membantu dalam pembangunan modal insan jangka panjang dalam rangka persediaan guna tenaga (talent pool) yang maksimum.

“Selain itu juga, teras kebolehpasaran juga akan ditekankan oleh PASAK dalam perancangan jangka panjang dengan menerapkan nilai tambah (add-on value) bagi meningkatkan peluang untuk ditempatkan ke dalam industri,” katanya pada sesi soalan lisan pada Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumum (PN-Chenderiang) yang ingin mengetahui inisiatif jangka masa panjang yang disediakan oleh kerajaan negeri bagi membendung masalah pengangguran daripada terus meningkat.

Ahmad Saidi menambah, usaha yang berterusan akan terus dipergiatkan oleh kerajaan negeri melalui PASAK bagi membantu para pencari kerja untuk menempatkan diri kedalam pasaran samada dalam jangka masa pendek, sederhana mahupun jangka panjang dengan kerjasama erat agensi-agensi berkaitan serta para pemain industri di Perak. – MalaysiaGazette