14 lelaki termasuk lima warga asing yang terlibat dalam kutipan parkir kenderaan secra haram dan paksaan di beberapa lokasi tumpuan di ibu negara berjaya diberkas JSPT KL dalam Ops Parkir Haram yang diadakan baru-baru ini.Gambar Ihsan JSPT KL

KUALA LUMPUR – Polis Kuala Lumpur menahan 14 lelaki, termasuk lima warga asing, yang disyaki mengutip wang di tempat letak kereta haram.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, kesemua suspek telah diberkas dalam Operasi Parkir Haram pada Rabu dan semalam.

“Op Parkir Haram diadakan di kawasan sekitar Bukit Bintang dan Solaris, Mont Kiara, di ibu negara yang diketuai seorang Pegawai Kanan dan 10 Pegawai Rendah Polis.

“Hasil operasi di lokasi berkenaan, telah berjaya menahan dan menangkap sembilan orang lelaki warganegara dan lima lelaki bukan warganegara yang telah melakukan kesalahan mengutip bayaran parkir kenderaan secara haram.

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas mereka polis berjaya merampas wang tunai yang dikutip dari pemandu-pemandu kereta di kawasan itu secara paksaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

14 lelaki termasuk lima warga asing yang terlibat dalam kutipan parkir kenderaan secra haram dan paksaan di beberapa lokasi tumpuan di ibu negara berjaya diberkas JSPT KL dalam Ops Parkir Haram yang diadakan baru-baru ini.Gambar Ihsan JSPT KL

Tambah beliau, kesemua tangkapan berkenaan adalah berumur dalam lingkungan 21 hingga 49 tahun.

Menurut Sarifudin, kesemua mereka telah dibawa ke Balai Polis Trafik Jalan Bandar untuk siasatan lanjut dan akan dituduh di bawah Seksyen 50(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Jika disabitkan kesalahan mereka, boleh dihukum mengikut Seksyen 119 (2) akta yang sama.

Orang ramai yang mempunyai pertanyaan atau pun mempunyai maklumat mengenai parkir haram boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S Lee di talian 03-2071 9999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette