KUALA LUMPUR – Apakah isu kematian dalam tahanan akan berulang sekali lagi?

Itu antara persoalan yang dibangkitkan oleh peguam, Datuk Sheelan Arjunan kepada MalaysiaGazette apabila anak guamnya ditahan untuk disoal siasat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya.

Sheelan berkata, lima anak guamnya yang ditahan reman polis atas dakwaan terlibat dengan kecurian enam drum kabel telah ditahan untuk soal siasat.

Kelima-lima suspek itu ditahan pasukan polis di bawah Sesyen 397 Kanun Keseksaan.

“Pada awalnya reman mereka ditolak oleh mahkamah dan selepas mereka dibawa ke IPD Ampang Jaya untuk siasatan yang kemudian menangkap mereka kembali untuk kes lain di IPD sama untuk reman pagi semalam.

“Antaranya tapak tangan, kaki dan kepala akibat dipukul pihak polis menggunakan hos getah dan juga kayu. Saya juga diberitahu suspek telah dipaksa mengaku untuk beberapa kes jenayah yang langsung tidak berhubung kait.

“Perkara ini telah dimaklumkan oleh semua suspek kepada Majistret yang telah mendengar permohonan reman tersebut.

“Persoalan saya, adakah tindak tanduk seperti ini akan akhirnya membawa ke arah isu tahanan mati ketika siasatan? Jangan biarkan ini berulang,” dakwanya.

Menurut Sheelan, setakat malam semalam sebanyak tiga laporan polis telah dibuat ahli keluarga di IPD Ampang Jaya dan beliau mahu perkara tersebut disiasat.

Wartawan MalaysiaGazette turut diberikan salinan laporan polis yang dibuat keluarga suspek.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Esha mengesahkan tentang laporan polis serta dakwaan keluarga tanpa mengulas lanjut.-MalaysiaGazette