Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Pasangan kekasih yang mengedar dadah dengan mensasarkan pelanggan di pusat hiburan di ibu negara ditahan baru-baru ini dalam Ops Carmill di Residensi Rimbunan Bandar Baru Seri Petaling dan merampas sebanyak 115 gram serbuk putih disyaki dadah jenis MDMA dianggarkan bernilai RM5,750.

Susulan tangkapan itu, polis turut membongkarkan setor mengumpul dan memproses cecair dadah di sebuah kediaman mewah itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur Asisten Komisioner Sahar Abd Latif berkata, soal siasat ke atas kedua-dua suspek itu telah membawa kepada serbuah di sebuah premis di kawasan sama pada Khamis jam 12.05 tengah malam.

Kata beliau, hasil pemeriksaan di dalam premis itu mendapati ia dijadikan stor menyimpan bekalan dan tempat memproses cecair dadah.

“Pemeriksaan lanjut di dalam polis berjaya menjumpai dan merampas dadah jenis serbuk ekstasi (MDMA) anggaran berat 8.817 kilogram bernilai RM440,850, sebanyak 558 botol mengandungi cecair MDMA 558 botol berjumlah RM 83,700 (RM150 sebotol), Ketamin 63 gram bernilai RM 9,450, 190 biji pil ketasi berharga RM3,200 dan 120 biji pil erimin 5 bernilai RM2,375.

“Sindiket ini telah beroperasi sejak enam bulan lalu dan menggunakan premis kondominium mewah dengan kawalan keselamatan yang ketat bertujuan mengaburi kegiatan mereka daripada dihidu oleh pihak berkuasa.

“Dadah yang diproses mereka ini dijual kepada pelanggan di pusat hiburan dan sumber bekalan dadah berkenaan oleh pasangan itu masih disiasat lanjut,” ujar beliau.

Katanya, kedua-dua suspek berusia 23 dan 37 tahun itu direman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah selama tujuh hari dari 16 hingga 22 Disember ini untuk membantu siasatan polis.

Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.

Jumlah keseluruhan rampasan dadah tersebut mampu menampung penggunaan seramai 19,416 orang pengguna dadah. – MalaysiaGazette