PUTRAJAYA – Seramai 1,213,769 orang pengundi layak mengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 esok.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyeru semua rakyat di negeri bumi kenyalang itu menjalankan tanggungjawab mereka dengan keluar mengundi bagi menyuburkan amalan demokrasi dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, pengundi tidak bergejala dan tidak melepasi saringan suhu akan diuruskan oleh pegawai kesihatan untuk pemeriksaan dan tindakan lanjut.
Manakala individu yang diletak di bawah Perintah Pengawasan dan Pemerhatian (PUS) dan individu yang bergejala yang sedang dalam rawatan (PUI) yang ingin mengundi hendaklah memohon kebenaran daripada Pegawai Kesihatan Daerah, untuk keluar sementara ke pusat mengundi.
Menurutnya, SPR telah menjalankan semakan peralatan mengundi seperti peti undi, dakwat pilihan raya, kertas undi, petak undi dan sebagainya hari ini untuk kegunaan bagi proses pengundian esok.
Katanya, semakan itu bertujuan memastikan semua peralatan atau kelengkapan bagi pengundian lengkap dan berkeadaan baik dan segala peralatan itu telah diagihkan kepada Ketua-Ketua Tempat Mengundi (KTM) bagi setiap saluran mengundi.
“Sebanyak 1,866 pusat mengundi dan 3,555 saluran akan dibuka esok dengan seramai 46,565 orang petugas akan bertugas bagi proses pengundian esok.
“Seramai 1,213,769 orang pengundi bakal mengundi di PRN DUN Sarawak Ke-12 esok dan SPR sangat berharap supaya semua pengundi dapat menjalankan tanggungjawab mereka dengan keluar mengundi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pengundi juga dinasihatkan keluar mengundi mengikut Masa Keluar Mengundi Yang Digalakkan seperti mana yang tercatat pada aplikasi MySPR Semak.
Sekiranya pengundi tidak dapat hadir pada masa keluar mengundi yang digalakkan SPR atas sebab-sebab tertentu, pengundi masih boleh keluar mengundi mengikut kelapangan masa dari jam 7.30 pagi hingga 5.00 petang atau waktu yang telah diwartakan.
Namun demikian, para pengundi dinasihatkan untuk tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir esok.
Selain itu, SPR turut mengingatkan majikan supaya membenarkan pekerja mereka yang berdaftar sebagai pemilih untuk keluar mengundi.
Mana-mana majikan yang dikenalpasti tidak membenarkan suatu tempoh kepada pekerja mereka untuk keluar mengundi boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 25 (3) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang memperuntukkan hukuman denda RM5,000 atau penjara selama setahun, jika sabit kesalahan.
“SPR sekali lagi mengingatkan semua pihak yang bertanding pada PRN kali ini bahawa tempoh rasmi berkempen akan tamat pada malam ini iaitu sehingga jam 11.59 minit malam ini.
“Selepas tempoh itu berakhir, semua pihak hendaklah menghentikan sebarang bentuk aktiviti berkempen termasuk aktiviti merayu undi.
“Mana-mana pihak tidak boleh merayu undi termasuklah di luar Pusat Mengundi dan juga melalui saluran media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan lain-lain,” ujarnya.
Ikmalrudin juga mengingatkan semua parti atau calon bertanding dilarang untuk membuka, membina atau menyelenggara barung semasa Hari Mengundi dan mana-mana pihak yang melakukan kesalahan sedemikian akan diambil tindakan undang-undang.
Menyentuh mengenai SOP Covid-19 yang ditetapkan kerajaan, beliau menasihatkan semua pengundi diwajibkan memakai pelitup muka separuh (face mask), melalui proses saringan suhu badan, menggunakan pensanitasi tangan (hand sanitizer) dan merekodkan kehadiran serta mengamalkan penjarakan fizikal.
Cecair sanitasi tangan akan dibekalkan oleh SPR di semua pusat mengundi pada hari mengundi manakala pengundi perlu melalui penggunaan pensanitasi tangan di empat stesen dalam pusat mengundi iaitu di pintu masuk pusat mengundi, di pintu masuk saluran, di dalam saluran (selepas proses mencelup jari dengan dakwat kekal iaitu sebelum menerima kertas undi) dan sebelum keluar dari pusat mengundi.
Petugas pilihan raya akan memantau pergerakan pengundi bagi memastikan garis panduan ini dipatuhi sepanjang berada dalam pusat mengundi dan pengundi yang bergejala dan tidak melepasi saringan suhu badan akan tetap dibenarkan mengundi di khemah khas yang dipantau oleh pegawai kesihatan.
Beliau turut memberi peringatan tegas semua pihak khususnya pengundi, calon dan petugas yang ingin memasuki pusat mengundi esok tidak memakai baju, topi, pelitup separuh muka atau membawa material yang mempunyai nama, simbol, gambar parti atau calon yang bertanding atau apa-apa bahan kempen serta sebarang tagline atau slogan kempen yang menjurus atau membawa maksud sokongan atau cenderung kepada mana-mana fahaman politik.
Katanya, mana-mana pengundi atau individu yang gagal mematuhi undang-undang boleh dihalang dari memasuki pusat mengundi dan dikenakan tindakan undang-undang sekiranya berbuat demikian.
“SPR berharap semua pihak mematuhi undang-undang, peraturan dan etika pilihan raya bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya serta tidak menggugat ketenteraman awam dan sebarang pelanggaran undang-undang yang berkaitan boleh dikenakan tindakan.- MalaysiaGazette