Lim Guan Eng corruption trial Consortium Zenith Construction Penang undersea tunnel
Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Saksi perbicaraan rasuah terowong dasar laut yang membabitkan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng memberitahu mahkamah bahawa tertuduh ada meminta 10 peratus daripada keuntungan projek yang dijana syarikatnya.

Pengarah Eksekutif Kanan Konsortium Zenith Construction Sdn Bhd, Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli berkata, perbuatan itu dilakukan oleh Guan Eng dalam sebuah kereta semasa dalam perjalanan pulang ke hotel di Kuala Lumpur selepas makan malam pada Mac 2011.

“Saya agak terkejut apabila diminta 10 peratus keuntungan dari mulut YB Lim Guan Eng yang selama ini menentang rasuah,” kata saksi ke-23 itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi, di sini, hari ini.

Lim Guan Eng

Consortium Zenith Construction adalah kontraktor utama bagi projek terowong dasar laut bernilai RM6.3 bilion yang mendapat kontrak tersebut melalui rundingan terus.

Guan Eng yang juga bekas Menteri Kewangan didakwa menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang berjumlah RM3.3 juta dengan mengambil tindakan membantu syarikat milik Zarul dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang yang bernilai RM6,341,383,702.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Guan Eng didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul sebagai upah bagi membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama.

Ahli Parlimen Bagan itu juga dituduh atas dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan negeri Pulau Pinang yang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri tersebut yang didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.

Guan Eng bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan berkenaan. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.