Suruhanjaya Sekuriti

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) hari ini mengeluarkan kertas perundingan awam untuk mendapatkan maklum balas awam ke atas Taksonomi Pelaburan Mampan dan Bertanggungjawab (SRI) berasaskan prinsip bagi Pasaran Modal Malaysia (Taksonomi SRI).

Bertepatan dengan saranan Pelan Hala Tuju SRI bagi Pasaran Modal Malaysia SC, Taksonomi SRI tersebut telah dibangunkan bagi membolehkan peserta pasaran modal Malaysia mengenal pasti aktiviti-aktiviti ekonomi yang sejajar dengan pencapaian matlamat persekitaran, sosial dan kemampanan.

Ini akan memudahcarakan pembuatan keputusan dalam pengumpulan dana dan pelaburan yang lebih bermaklumat dan cekap.

Taksonomi SRI tersebut turut menyediakan prinsip panduan dalam pembiayaan peralihan yang boleh dipercayai bagi membolehkan lebih banyak syarikat memanfaatkan instrumen berasaskan pasaran dalam memenuhi keperluan kewangan peralihan mereka.

Taksonomi SRI bertujuan untuk mempercepatkan pembangunan kelas aset SRI dan menggalakkan lebih kesedaran dan pemakaian amalan kemampanan dalam syarikat korporat di Malaysia.

Ia menyediakan panduan sukarela kepada peserta pasaran modal untuk menjalankan aktiviti ekonomi yang mampan berdasarkan prinsip yang disediakan.

Taksonomi SRI yang dibangunkan oleh Kumpulan Kerja Industri (IWG), dipengerusikan oleh SC.

Ahli-ahli IWG terdiri daripada Hab Kewangan Pertumbuhan Inklusif & Mampan Kumpulan Bank Dunia di Malaysia selaku Ketua Pakar Teknikal serta wakil-wakil dari Bursa Malaysia, syarikat pengurusan aset dan dana, bank pelaburan, pemilik aset dan pakar kewangan mampan.

Kertas perundingan tersebut boleh didapati di https://www.sc.com.my/regulation/consultation-papers dan pihak yang berminat dan orang
ramai adalah dipelawa untuk mengemukakan komen dan maklum balas kepada SC sebelum 31 Mac 2022 melalui pautan https://survey.alchemer.com/s3/6667433/SRI-Taxonomy-Public-Consultation. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast