Pasukan Bomba dan Penyelamat mengeluarkan mangsa-mangsa yang terlibat dalam kemalangan jalan raya di Lebuh Raya Elite lewat malam tadi. Gambar ihsan JBPM

 

KUALA LUMPUR – Seramai 10 orang penumpang kereta maut dalam tragedi yang menyayat hati membabitkan empat kenderaan termasuk sebuah treler di kawasan Rehat dan Rawat USJ Lebuhraya Elite menghala Shah Alam lewat malam tadi.

Mangsa yang terkorban dalam nahas itu terdiri daripada lima kanak-kanak lelaki, tiga kanak-kanak perempuan dan masing-masing satu lelaki serta perempuan dewasa.

Keadaan kereta yang remuk teruk.

Pengarah Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.42 malam.

Menurutnya, kematian 10 orang mangsa itu melibatkan penumpang kereta Proton Wira.

Manakala, seorang lelaki dewasa yang menaiki kereta Proton Wira lain turut maut dalam kejadian tersebut manakala seorang wanita dewasa bersamanya selamat.

Lelaki yang menaiki Perodua Axia pula patah kaki dan perempuan dewasa yang menaiki kenderaan sama cedera ringan.

Sebuah kereta Proton Wira yang hancur dalam kemalangan membabitkan tiga kereta dan sebuah lori di Lebuh Raya Elite lewat malam tadi.

Treler yang membawa seorang lelaki, wanita dan kanak-kanak terselamat.

“Keseluruhannya sebanyak 17 mangsa terbabit dalam kemalangan ini membabitkan dua Proton Wira, sebuah Perodua Axia dan sebuah treler,” katanya dalam kenyataan di sini.

Katanya, anggota bertugas bertindak mengeluarkan mangsa dengan menggunakan alatan khas dan dibantu sebuah kren bagi mengangkat lori treler.

“Semua mangsa berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. Operasi keseluruhan tamat pada jam 2.40 pagi Sabtu,” ujarnya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Amat sedih dan pilu mendengar cerita ini..
    Harap pihak berkuasa menyiasat dan ambil tindakan sewajarnya kepada pelaku.
    Treler atau kenderaan berat yang menyebabkan kemalangan sebegini kerap kedengaran dan operasi penguatkuasa hanya bila menjadi isu besar kemudian menjadi sejuk seperti Tukul dengan Pahat.
    Kenderaan berat masih ada yang tidak mengikut peraturan seperti memandu melebihi had laju atau memotong secara memerbahaya terutama di lebuhraya..
    Sikap pemandu-pemandu begini boleh menjadi penyebabkan kemalangan atau masalah kepada pengguna2 kenderaan kecil.

Comments are closed.