Gambar Hiasan. foto IQBAL BASRI, 01 FEBRUARI 2020

KUALA LUMPUR – Pembayaran tol menggunakan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) yang akan diperkenalkan di laluan Juru, Pulau Pinang hingga ke Skudai, Johor di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) bermula 15 Januari tahun depan, adalah pilihan tambahan kepada platform transaksi sedia ada.

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata, pengguna masih boleh menggunakan kad Touch ‘n Go dan SmartTAG kerana hanya satu lorong RFID disediakan di plaza-plaza tol di laluan berkenaan.

“Kami mendengar dan faham kebimbangaan disuarakan oleh sesetengah pengguna lebuh raya tentang penutupan lorong Touch ‘n Go dan SmartTAG. Kami ingin menjelaskan bahawa kedua-duanya akan tetap beroperasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, transaksi menggunakan RFID adalah langkah awal kepada pelaksanaan pembayaran tol tanpa kehadiran plaza tol menerusi Sistem Laluan Terus Pelbagai Lorong (MLFF).

PLUS sehubungan itu, katanya, menggalakkan pengguna lebuh raya beralih kepada RFID dengan mendapatkan tag RFID secara dalam talian menerusi aplikasi Touch ‘n Go eWallet, portal Touch ‘n Go, ejen pemasaran yang dilantik atau di 39 pusat pemasangan tag RFID di seluruh Semenanjung.

“Bagi merealisasikan MLFF seperti yang dilaksanakan di negara lain, pengguna lebuh raya terlebih dahulu perlu beralih kepada RFID secara berperingkat dalam satu jangka masa tertentu bagi memberi peluang mereka menyesuaikan diri dengan kaedah pembayaran tol alaf baru tersebut,” katanya. – Bernama

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast