EPF i-Citra withdrawal dividend 2021 Najib Razak

Saudara pengarang,

NAMPAKNYA masih ada suara-suara yang kuat mendesak pengeluaran tambahan dari KWSP walaupun ekonomi sudah dibuka dan setiap pelusuk negara menyaksikan rakyat kian sibuk dengan urusan tugas dan perniagaan.

Antara yang tegar menuntut pelanjutan ini adalah beberapa ahli politik, tapi sebagai rakyat yang prihatin kita perlu bertanya apa tujuan sebenar di sebalik tuntutan ini?

Sememangnya, sejak dua tahun kebelakangan ini, ramai rakyat yang terjejas pendapatan akibat langkah-langkah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mengehadkan kegiatan ekonomi.

Sudah berpuluh billion ringgit bantuan tunai dan program pembiayaan untuk rakyat dan perniagaan (PKS dan mikro) diperkenalkan Kerajaan, manakala pihak KWSP pula telah mengizinkan program pengeluaran i-Lestari, i-Sinar dan disusuli dengan i-Citra untuk pencarum.

Hari ini, kesan dari semua program pengeluaran KWSP tersebut adalah amat membimbangkan.

Data KWSP terbaru mendedahkan bahawa 6.1 juta ahli kini mempunyai baki kurang daripada RM10,000 dalam akaun mereka. Lebih mengejutkan adalah daripada jumlah itu, 3.6 juta ahli mempunyai kurang RM1,000 dalam akaun mereka.

Pencarum Bumiputera merupakan kelompok paling ramai mempunyai baki simpanan kurang daripada RM10,000 berbanding pencarum kaum lain.

Menurut KWSP, pencarum Bumiputera mewakili 74 peratus daripada 5.9 juta pencarum yang baki simpanan kurang RM10,000. Nisbah pencarum KWSP berbangsa Cina ialah 13 peratus dan pencarum India pula sebanyak 7 peratus.

Apa sudah jadi dengan simpanan saraan pekerja Bumiputera ini? Sudah begitu banyak inisiatif dan bantuan tunai dari kerajaan untuk membantu mereka dalam pelbagai segi—dan memandangkan pembukaan ekonomi semakin pesat—perlukan diizinkan pencarum menyentuh lagi wang untuk simpanan hari tua mereka?

Saranan beberapa ahli-ahli politik seperti Ketua Pemuda Umno Datuk Asyraf Wajdi Dusuki turut menyumbang kepada masalah ini. Beliaulah yang paling kuat bersuara untuk melanjutkan program i-Citra di bawah KWSP, malah masih menyarankan diadakan lagi pengeluaran sehingga RM10,000.

Antara hujah yang dibuat beberapa pihak untuk lanjutan i-Citra adalah wang ini boleh digunakan untuk modal perniagaan atau membayar hutang. Tetapi ini bukanlah tujuan sebenar simpanan KWSP ditubuhkan.

Tidak pula kita mendengar pemimpin dari parti atau kaum lain membuat desakan sebegini.

Minggu ini, beberapa kesatuan sekerja seperti MTUC, NUSPM dan UNI-MLC turut sama menyeru Kerajaan supaya tidak lagi mengizinkan sebarang pengeluaran tambahan dari simpanan KWSP.

Jika pengeluaran i-Citra tidak dihentikan, majoriti ahli KWSP tidak akan mampu membiayai sara hidup mereka di hari tua. Kemungkinan besar, ini akan menjadi suatu beban ke atas sistem kebajikan dan kewangan negara di masa depan.

Apa yang rakyat patut buat sekarang ialah mencari peluang pekerjaan dan bisnes yang sudah terbuka luas. Janganlah ambil jalan mudah mengeluarkan wang simpanan KWSP.

Kita yakin, rakyat Malaysia mempunyai keupayaan untuk bangkit kembali dari cabaran ekonomi Covid-19. Ambillah manfaat dari beratus inisiatif dan bantuan yang disalurkan pihak Kementerian, Kerajaan Negeri dan pusat pungutan zakat masing-masing. Peliharalah simpanan KWSP kita.

Jangan bila tiba hari tua kita terjerumus di lembah kemiskinan.

Ismael Yunus
Shah Alam

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast