Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob diberi taklimat situasi terkini keadaan banjir dalam negara oleh Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Dr. Aminuddin Hassim di Pusat Kawalan Bencana Negara, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 18 DISEMBER 2021.

PUCHONG – Memindahkan mangsa banjir dan memberikan bantuan makanan merupakan keutamaan yang perlu dilakukan dengan segera.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mangsa yang terperangkap di rumah perlu dipindahkan segera kerana paras air tidak boleh dijangka sama ada akan surut atau sebaliknya.

“Yang penting nyawa dulu yang terperangkap tidak boleh lama sebab kita tidak tahu air akan naik atau surut. Yang penting sekarang pindah dan makan,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas menerima taklimat mengenai situasi banjir yang sedang melanda di beberapa buah negeri daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) di markas agensi itu.

Menurut Ismail Sabri, sehingga kini terdapat 11,384 mangsa banjir membabitkan 4,500 keluarga di Kelantan, Terengganu, Pahang, Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor.

Tambah beliau, sebanyak 188 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) ditempatkan di seluruh negara melibatkan enam buah negeri itu. 

“(Sebanyak) 39 PPS di Kelantan, 39 di Terengganu, 84 di Pahang, sembilan PPS masing-masing di Melaka dan Negeri Sembilan dan 45 di  Selangor,” ujar beliau.

Perdana Menteri berkata, pihaknya telah menghubungi Panglima Angkatan Tentera Darat, Tan Sri Zamrose Mohd Zain dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah sani untuk menggerakkan seberapa ramai anggota pasukan keselamatan itu bagi menyalurkan bantuan dengan segera.

Tambahnya, semua bantuan dan aset agensi kerajaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APAM) akan digerakkan bermula malam ini.

Mengulas mengenai situasi banjir di Selangor yang semakin memburuk, Ismail berkata, ia tidak dijangka kerana musim tengkujuh akan melibatkan negeri-negeri Pantai Timur.

“Selangor agak kelam kabut sedikit kerana mungkin di negeri-negeri saya sebut tadi kalau Monsun Timur Laut ini memang  persediaan dibuat awal tapi Selangor keadaannya berlaku mengejut kerana musim tengkujuh jarang banjir di Selangor.

“Walaubagaimanapun keadaan itu mengejut seolah banjir kilat,” tambah beliau.

Di Selangor, seramai 3,876 orang daripada 2,551 buah keluarga menjadi mangsa banjir.

Dalam pada itu, Ismail Sabri menyarankan agar mangsa banjir menghubungi Hot Line National Disaster Command Centre (NDCC) di talian 03-80642400. – MalaysiaGazette