FAM mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap kegagalan skuad kebangsaan mara ke separuh akhir Piala AFF Suzuki 2020 di Singapura semalam. - Foto Ihsan FAM.

KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap kegagalan pasukan kebangsaan Harimau Malaya mara ke separuh akhir Piala Suzuki AFF 2020 yang telah berlangsung di Singapura.

Presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, FAM mengarahkan pengurusan pasukan kebangsaan untuk mengemukakan laporan bedah siasat dan analisis lengkap mengenai prestasi Harimau Malaya sepanjang kempen di Singapura kepada Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan dalam masa terdekat.

Malaysia gagal mara ke separuh akhir Piala AFF Suzuki 2020 kali ini.Foto: FAM

Dalam pada itu, Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar juga menyatakan laporan bedah siasat itu akan diteliti  Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan sebelum dibentangkan pada mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM kelak.

Kenyataan itu menyusul selepas skuad kendalian Tan Cheng Hoe kalah kepada jirannya skuad Garuda dari Indonesia dengan keputusan 1-4 semalam.

Skuad kebangsaan hanya mampu mencatatkan dua kemenangan – ke atas Laos dan Kemboja.

Malangnya, anak buah Cheng Hoe tewas kepada Vietnam dan Indonesia yang sekaligus memusnahkan impian mereka untuk mara ke pusingan separuh akhir pada temasya kali ini.

Skuad Kebangsaan hanya sekadar kekal dengan enam mata manakala Indonesia muncul juara kumpulan dengan mengumpul 10 mata disusuli Vietnam sebagai naib juara kumpulan dengan 10 mata yang hanya dipisahkan dengan jumlah jaringan gol. -MalaysiaGazette