ISKANDAR PUTERI – Kerajaan negeri Johor mengambil langkah segera dengan menghantar bantuan bagi membantu mangsa banjir di Selangor, hari ini.
Ketua misi bantuan, On Jabbar berkata, bantuan segera itu disampaikan sejajar dengan titah Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada Ahad lalu yang mahu Southern Volunteers (SV) digerakkan ke kawasan-kawasan bencana sebagai usaha membantu menghulurkan bantuan sumbangan keperluan di Hulu Langat pada petang ini.
Nilai keseluruhan misi bantuan melibatkan kos RM50,000.
Sumbangan bagi fasa 1 ini jelas beliau, melibatkan seramai 37 orang sukarelawan Southern Volunteers.
“Untuk bantuan bagi peringkat awal ini kita sampaikan barangan seperti pampers pakai buang, air minuman, barang mandian dan beberapa lagi kelengkapan.
“Misi untuk hari ini adalah sehari dimana kita akan pulang semula ke Johor pada sebelah petang selepas menyampaikan bantuan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media sempema Misi Bantuan Banjir Southern Volunteers di Sekretariat Sukma, Iskandar Puteri, di sini, hari ini.
Kata On, pihaknya juga bercadang melakukan misi bantuan ke fasa 2 bagi kerja-kerja pembersihan di kawasan terlibat banjir.
Bagaimanapun, perancangan seperti keperluan sukarelawan SV seperti penginapan dan keperluan-keperluan lain juga perlu difikirkan.
Sementara itu, sukarelawan SV, M. Sivamani, 37, yang menyertai misi bantuan hari ini memberitahu, dia yang sudah 10 kali terlibat dalam aktiviti misi bantuan.
Katanya, ketika ini tenaga anak muda seperti beliau sememangnya diperlukan bagi membantu mangsa tanpa mengira agama.
“Saya sememangnya sedih melihat situasi yang berlaku di Selangor, jadi sebagai orang muda saya akan bantu semampu saya dari segi tenaga.
“Disinilah kita perlu muafakat untuk semua yang terkesan tanpa mengira warna kulit,” katanya.
Sementara itu, sukarelawan Wan Mohd Yusof Wan Husein, 32, melahirkan rasa simpati terhadap mangsa banjir di Selangor.
“Saya sendiri cukup sedih melihat paparan video banjir di Selangor yang dikongsi di media sosial.
“Diharap mangsa banjir tabah dan saya sebagai sukarelawan Southern Volunteers akan membantu menyampaikan barang sumbangan,” katanya. – MalaysiaGazette