Mohamad Sabu

KUALA LUMPUR – Situasi banjir yang meruncing hari ini mendapat perhatian Presiden Parti Amanah Negara (PAN), Mohamad Sabu.

Beliau yang juga bekas Menteri Pertahanan bangun ketika sesi perbahasan pindaan Rang Undang-undang (RUU) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342) mempersoalkan kesiapsagaan kerajaan bagi menangani masalah banjir yang melanda beberapa negeri hari ini.

“Soalnya bukan bantuan wang tapi soalnya mana bot tentera bot polis, dan bot APPM.

“Banyak nelayan yang menawarkan diri untuk bawa bot mereka tapi tak sesuai kerana berlekuk.

“Saya juga terperangkap lapan jam di satu stesen minyak, orang tanya mana wakil rakyat, macam mana nak nampak muka sebab terperangkap.

“Keadaan begini cukup darurat, saya tidak tahu mana tentera dan polis dan perdana menteri buat, keadaan begitu teruk,” katanya dalam sesi Dewan Rakyat hari ini.

Dua hari lalu, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa kerajaan menghantar bantuan kepada mangsa-mangsa banjir bagi meringankan beban mereka yang terkesan.

Jelas Mohamad lagi, langkah perlahan ini tidak seiring dengan markah yang diberikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri kepada Jemaah Kabinet dalam 100 hari pentadbiran beliau.

“Sampaikan dapat markah 90 peratus kejayaan, bila berlaku banjir tidak sampai lagi bantuan-bantuan sebab sudah masuk hari kedua, sepatutnya telah sampai,” katanya lagi.

Untuk rekod, banjir yang melanda di beberapa negeri bertambah buruk hari ini apabila lebih 34,000 orang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS), berbanding lebih 21,000 orang pada tengah hari semalam.

Setakat ini, banjir berlaku susulan fenomena musim Monsun Timur Laut yang  mengorbankan satu nyawa, manakala dua lagi dilaporkan hilang dan dikhuatiri dihanyutkan arus deras di Pahang. – MalaysiaGazette