Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

IPOH – Perak akan menghantar bantuan pasca banjir ke negeri-negeri jiran bagi pembersihan kawasan terjejas banjir dalam masa terdekat.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad berkata Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim telah berhubung dengan negeri terjejas teruk seperti Pahang dan Selangor bagi memperoleh maklumat lanjut berkaitan bantuan yang diperlukan.

“Kita sudah meminta semua Pihak Berkuasa Tempatan hubungi rakan-rakan mereka di negeri berkenaan jika ada keperluan. Kita akan melihat apa keperluan mereka dan kemampuan kita sebagai kerajaan negeri untuk menghantar bantuan dan sekiranya ada kekuatan diperlukan, kita akan hantar.

“Walaupun banjir surut tetapi ada keperluan untuk membersihkan kawasan banjir termasuk membersihkan sampah sarap dan paling susah ialah kesan lumpur yang sukar untuk dibersihkan,” katanya kepada pemberita selepas persidangan Dewan Undangan Negeri Perak di sini hari ini.

Dilapor, keadaan banjir di Selangor disifatkan luar jangka dengan kebanyakan kawasan dinaiki air menyebabkan jalan-jalan utama ditutup dan jumlah mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS), bertambah.

Situasi di negeri lain yang mengalami banjir seperti Negeri Sembilan, Pahang, Melaka, Kelantan turut menyaksikan mangsa dipindahkan ke PPS susulan air banjir belum surut berikutan hujan berterusan.

Sementara itu, Saarani berkata empat empangan di Perak masih dalam keadaan terkawal dan selamat walaupun terdapat peningkatan paras air.

Beliau berkata setakat petang semalam, paras air di Empangan Temenggor mencatatkan 242.23 meter (m), Bersia (140.34 m), Kenering (110.04 m) dan Chenderoh (59.64 m) iaitu di bawah paras amaran.- BERNAMA