Mohd Shahzihan Ahmad

SHAH ALAM – Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) hanya memberi pandangan yang sesuai dengan perkembangan semasa, termasuklah perihal keperluan merapatkan saf jemaah di masjid.

Pengarahnya, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, perkara itu akan dimuktamadkan Sultan Selangor selepas membuat pertimbangan dan rujukan daripada pelbagai pihak.

“JAIS prinsipnya melaksanakan berdasarkan titah tuanku Sultan. Yang juga membuat pertimbangan adalah mufti.

“JAIS akan sentiasa memberikan pandangan sesuai dengan perkembangan semasa. Tetapi perkara-perkara yang melibatkan pandangan-pandangan ini akhirnya akan dimuktamadkan oleh Tuanku Sultan Selangor,” katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas menerima sumbangan Zakat Selangor Peduli (ZSP) daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) di Bangunan Sultan Idris Shah, di sini, hari ini.

Pada Oktober lalu, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan supaya jumlah ketetapan bilangan jemaah untuk solat Jumaat bagi masjid-masjid dan surau-surau dengan kebenaran solat Jumaat di Selangor dinaikkan.

Sebagai contoh, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah boleh menerima kehadiran sehingga 3,500 jemaah berbanding 2,000 jemaah sebelum itu.

Manakala masjid-masjid daerah dinaikkan kepada antara 700 hingga 1,000 jemaah bergantung kepada jumlah kapasiti masing-masing, manakala masjid-masjid institusi pula ditambah kepada antara 500 hingga 1,200 jemaah, sementara Masjid Pengurusan antara 400 hingga 700 jemaah.-MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Rapat saf..

    Bila datang musibah seperti banjir kenapa boleh dibuka walaupun tidak vaksin..
    Ini bermakna kita terlalu takut dengan pandangan manusia tetapi kepatuhan kpd Tuhan dipandang sepi dengan pelbagai alasan.
    Ini baru sebahagian air hujan selama 2 hari tetapi kalau seminggu bagaimana agaknya?

Comments are closed.