KUALA LUMPUR – Affin Hwang Asset Management Berhad (Affin Hwang AM) hari ini melancarkan Affin Hwang World Series – Global Infrastructure Income Fund.

Dana ini ialah dana pembekal borong yang membolehkan pelabur memanfaatkan peluang pendapatan global menerusi aset infrastruktur yang tersenarai.

Dana ini akan dibekalkan ke dalam skim pelaburan bersama, iaitu Legg Mason ClearBridge Global Infrastructure Income Fund (dana sasaran) yang diuruskan oleh ClearBridge Investments iaitu Pengurus Pelaburan Kepakaran Khusus dari Franklin Templeton.

Untuk mencapai matlamatnya, dana akan melabur sekurang-kurangnya 80% daripada nilai aset bersih dana (NAB) dalam dana sasaran dan maksimum 20% NAB dana dalam instrumen pasaran wang, deposit dan/atau tunai.

Dana ini sesuai bagi pelabur sofistikated yang mahu mencapai peningkatan modal, mempunyai tempoh pelaburan jangka pertengahan hingga panjang dan mempunyai toleransi risiko yang tinggi.

Mata wang asas dana ialah dalam dolar Amerika Syarikat (AS) dan dana ini ditawarkan dalam empat kelas mata wang, iaitu Kelas USD (dolar AS), Kelas Lindung Nilai Ringgit Malaysia, Kelas Lindung Nilai Dolar Singapura dan Kelas Lindung Nilai Dolar Australia.

Jumlah pelaburan minimum ialah AS$5,000 untuk semua kelas mata wang yang tersenarai. – MalaysiaGazette