Datuk Seri ismail Sabri Yaakob melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara D'Sury, Jelebu. Foto: Facebook

JELEBU – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak menafikan terdapat kelemahan dalam pengurusan banjir terutamanya di Selangor dan ia akan ditambah baik dari semasa ke semasa.

Beliau berkata, tanggungjawab pengurusan bencana banjir bukan setakat kerajaan Persekutuan tetapi kerajaan negeri dan pihak berkaitan setiap daerah memainkan peranan penting.

“Saya tidak menafikan (kelemahan) dan akan menambah baik pada masa akan datang… Tanggungjawab banjir bukan setakat kerajaan Persekutuan tetapi kerajaan negeri dan frontliners adalah daerah-daerah.

“Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) hanya koordinator… kalau dianggap kelemahan koordinasi saya tidak membela sesiapa dalam keadaan begini, bagi saya semua perlu dipertanggungjawabkan,” katanya kepada pemberita selepas melawat mangsa banjir di Dewan Besar D’Sury di sini. – Bernama