Penduduk membersihkan kawasan kediaman mereka selepas kawasan tersebut dilanda banjir akibat hujan berterusan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Hulu Langat, Selangor. Foto AFFAN FAUZI, 21 DISEMBER 2021.

HULU LANGAT – Majoriti mangsa banjir di Hulu Langat merayu Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyegerakan sambungan bekalan elektrik di kawasan mereka yang erputus sejak beberapa hari lalu.

Malah syarikat pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) juga turut diminta agar menambah tekanan air kerana ketika ini ia sangat rendah dan sukar digunakan untuk kerja-kerja pembersihan.

Rata-rata mangsa yang terjejas akibat banjir ketika ditemui MalaysiaGazette  di sini kesal dengan keadaan yang berlaku dan berharap situasi yang dihadapi mereka mendapat perhatian segera.

Seorang penduduk  Taman Sri Nanding, Yasmamarie Sarbaini, 45, berkata, ketiadaan bekalan elektrik menyukarkan keluarganya melakukan kerja-kerja pembersihan rumah yang terjejas teruk akibat diseliputi lumpur dan selut.

Katanya, ketiadaan bekalan itu menyulitkan anak-anaknya untuk menggunakan pam air tekanan tinggi  untuk membasuh rumah serta peralatan-peralatan yang masih boleh digunakan.

Yasmamarie Sarbaini

“Rumah saya ini habis kesemuanya diselaputi selut…untuk membersikannya kami perlu menggunakan pam air tapi masalahnya, bekalan eletrik sudah putus lama dan tak disambung semula. Jadi, macam mana kami mahu bersihkan peralatan dan kawasan rumah,” katanya.

Perkara itu turut ditegaskan Mokhtar Husin, 59, yang memberitahu, penduduk di kawasan mereka terpaksa bergelap sejak banjir berlaku pada Sabtu lepas.

Katanya, sambungan elektrik amat penting pada ketika ini kerana banyak benda boleh dilakukan sekirany ia disambung semula.

“Saya minta tolong sangat-sangat kepada pihak yang berkenaan untuk sambung semula bekalan elektrik di kawasan kami ini dengan segera.

Mokhtar Husin

“Kami mahu bersihkan rumah dan perlu selesaikan siang dan malam. Jadi, jika bekalan ini tak disambung macam mana kami nak selesaikan membersih kediaman kami ini.

“Kami semua nak tinggal di mana kalau rumah kami ini tak dibersihkan segera…takkan kami nak menumpang lama di rumah saudara mara atau anak-anak,” ujarnya

Sementara itu, Zuraidah Nordin, 68, yang tinggal di Kampung Dusun Tua berkata, tekanan air rendah yang berlaku ketika ini melambatkan kerja-kerja pembersihaan rumah yang telah masuk hari kedua.

Katanya, tekanan air yang kuat sangat perlu bagi menanggalkkan selut dan lumpur meskipun menggunakan water jet.

“Saya ini warga emas mana ada lagi kekuatan untuk nak menyental dengan kuat perkakasan rumah yang kotor dengan selut dan lumpur ini.

Zuraidah Nordin

“Semua itu perlu guna water jet baru tanggal semua selut-selut yang melekat. Tapi, apa pun tekanan air perlulah kuat juga.

“Saya harap ia dapat dilakukan segera kerana anak-anak kami masih bercuti dan boleh menolong melakukan apa yang patut. Nanti kalau mereka semua dah bekerja macam mana mereka nak tolong,” tambahnya.

Perkara sama turut disuarakan Noratikah Aznan, 30, yang merupakan sukarelawan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) yang memaklumkan, tekanan air rendah di kawasan Hulu Langat ketika ini melambatkan lagi kerja-kerja  sukarelawan membantu penduduk membersihkan kediaman masing-masing.

Katanya, masalah itu turut menjejaskan anggota sukarelawan lain untuk membersihkan premis-premis lebih besar seperti masjid, surau, klinik-klinik kesihatan, dewan orang ramai dan banyak lagi.

“Tekanan air kuat ini sangat penting sebab selut-selut dan lumpur yang ditinggal akibat banjir sangat tebal dan ia sukar dibersihkan jika tidak menggunakan tekanan air yang tinggi,” katanya.

Noratikah Aznan

Dalam pada itu, seorang penduduk Kampung Sungai Serai, Mohd Zamrin Jamlus, 51, menggesa agar Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) atau mana-mana pihak yang berkaitan menyegerakan pungutan barang-barang buangan termasuk sampah sisa pepejal yang dibuang.

Katanya, pada ketika ini longgokan barang-barang yang tidak boleh lagi digunakan terlalu banyak dan timbunan itu dilihat sangat merimaskan dan perlu diangkut segera.

Tambahnya, pihak berkenaan perlu menyediakan tong sampah pukal roro lebih banyak kerana barang-barang penduduk yang rosak boleh dibuang ke dalam tong berkenaan.

“Saya minta supaya lebuh banyak tong roro ini diletakkan di setiap kawasan yang terjejas bagi memudahkan kami membuang ke semua barang-barang rumah yang dah rosak dan tidak boleh digunakan lagi.

Mohd Zamrin Jamlus

“Macam di rumah saya ini…saya sendiri bingung dan tak tahu lagi di mana nak buang barang-barang rosak yang bertimbun di hadapan rumah.

“Minta pihak yang berkenaan ambil perhatian terhadap perkara ini, saya rasa pnadangan ini mesti ramai yang setuju, katanya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast