Ayra Inara memerlukan bantuan bagi menjalani pembedahan jantung dan buah pinggang.

GEORGE TOWN – Sepasang suami isteri merayu bantuan orang ramai menyalurkan sumbangan bagi menyelamatkan nyawa anak bongsu mereka yang kini perlu menjalani pembedahan segera susulan menghidap masalah buah pinggang serta  saluran jantung sempit.

Alif Imran Abd Aziz, 25, berkata, anak perempuannya, Ayra Inara ditempatkan di Hospital Pulau Pinang selepas dilahirkan pada 11 November lalu.

Jelas Alif Imran, ketika kandungan berusia enam bulan doktor mengesahkan buah pinggangnya bengkak dan dia juga dilahirkan menerusi pembedahan susulan berlaku komplikasi yang mana tiada pembukaan pada serviks isterinya.

“Selepas dilahirkan, doktor mengesahkan Ayra Inara mempunyai masalah buah pinggang dan saluran darah jantung sempit sekali gus menyebabkan bekalan oksigen tidak mampu sampai ke seluruh badan.

Alif Imran dan isterinya, Alkama Nordin menunjukkan gambar anak bongsu mereka yang kini ditempatkan di NICU Hospital Pulau Pinang.

“Bagi menyelamatkan nyawa anak bongsu kami memerlukan RM50,000 bagi menjalani pembedahan segera, namun saya dan isteri tidak mampu menampung kos tersebut memandangkan purata gaji bulanan kami hanya RM2,500 selain harus menyara dua lagi anak.

“Susulan itu, kami meminta bantuan daripada pertubuhan kebajikan, One Hope Charity and Welfare (One Hope Charity) bagi mengumpul dana kos perubatan Ayra Inara,” katanya yang menetap di Balik Pulau, di sini.

Sementara itu, Pengerusi pertubuhan kebajikan, One Hope Charity, Datuk Chua Sui Hau berkata, Ayra Inara kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) untuk bantuan pernafasan dan ubat bagi mengembangkan saluran darah jantungnya.

Kata beliau, pembedahan jantung perlu dilakukan segera susulan penggunaan ubat yang berterusan akan memburukkan keadaan masalah buah pinggang bayi berkenaan.

“Pembedahan jantung Ayra Inara perlu dilakukan di hospital pakar swasta susulan kita memerlukan masa yang lama jika ia dilakukan di Institut Jantung Negara (IJN) atau Hospital Serdang tambahan pula, ia merupakan hospital tumpuan untuk merawat pesakit Covid-19.

“Pihak keluarga memberi kebenaran kepada kami untuk mengumpul kos perubatan dari orang awam berjumlah RM50,000 sekali gus menguruskan rawatan bayi mereka,” kata beliau.

Sehubungan itu, sumbangan boleh disalurkan menerusi akaun bank One Hope Charity & Welfare 3201428817 (Public Bank) atau menerusi laman sesawang www.onehopecharity.org.

Orang ramai boleh menghubungi talian 016 419 2192, 019 232 2192 atau 04 539 9212 untuk maklumat lanjut. – MalaysiaGazette