KUALA LUMPUR – Lenggong, Perak dan Labuan telah diiktiraf sebagai Geopark Kebangsaan yang baharu selepas Geopark Kebangsaan Lembah Kinta, Perak, Geopark Kebangsaan Jerai, Kedah dan Geopark Kebangsaan Kinabalu, Sabah di bawah Program Pembangunan Geopark Kebangsaan.

Pengiktirafan Lenggong dan Labuan sebagai Geopark Kebangsaan telah dibuat pada 16 Disember 2021 semasa Mesyuarat Jawatankuasa Geopark Kebangsaan Bilangan 1 Tahun 2021.

Geopark Kebangsaan Lenggong berkeluasan 2,068 kilometer persegi kaya dengan keunikan landskap batuan, warisan biologi (8 biotapak) dan budaya (19 tapak budaya) serta menyimpan pelbagai sejarah formasi geologi, khasnya yang bertaraf antarabangsa.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, sembilan tapak geoarkeologi di Lenggong juga sebelumnya telah menerima pengiktirafan Tapak Warisan Dunia daripada Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Manakala Geopark Kebangsaan Labuan berkeluasan 402 kilometer persegi pula memaparkan evolusi endapan bantuan dan landskap yang membentuk Pulau Labuan serta tapak-tapak biologi.

Antaranya hutan paya bakau (Kinabenuwa), hutan pantai (Tanjung Kubong), santuari hidupan liar (Pulau Ular) dan taman laut (Pulau Rusukan Besar, Pulau Rusukan Kecil dan Pulau Kuraman) yang menjadi habitat kepada spesies-spesies burung (Layang-layang, Bangau Batu, Burung Kosa dan Kelicap Sepah).

Manakala kepelbagaian warisan budaya pula boleh dilihat pada masyarakat yang mendiami perkampungan air.

Menurutnya, pengiktirafan Lenggong dan Labuan sebagai Geopark Kebangsaan adalah satu pencapaian signifikan kepada negara.

Ia khususnya bagi kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan dalam pemeliharaan kelestarian alam semula jadi dan pengurusan mampan kawasan berkepentingan kebangsaan yang memiliki nilai geotapak luar biasa seiring dengan Agenda Pembangunan Nasional dan Matlamat Pembangunan Mampan 2030 di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). – MalaysiaGazette