Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menyelamatkan mangsa yang terperangkap banjir akibat hujan berterusan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Seksyen 25 Taman Sri Muda, Shah Alam, Selangor. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 20 DISEMBER 2021.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Keseluruhan angka kematian melibatkan mangsa mati lemas akibat banjir di Shah Alam, Selangor disahkan seramai sembilan orang.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, pada Ahad lalu, dua mangsa lemas telah dijumpai pasukan bomba manakala tujuh lagi  dijumpai pada semalam.

“Keseluruhan angka kematian yang melibatkan mati lemas adalah seramai sembilan orang setakat ini yang mana tiga daripadanya adalah wanita manakala baki enam orang lelaki,” katanya dalm kenyataan tengah malam tadi.

Tambah Baharudin, dua daripada tiga mangsa wanita berkenaan adalah berbangsa Cina dan seorang lagi belum dapat dikenalpasti manakala tiga daripada identiti enam mangsa lelaki masih belum ditentukan.

Sementara itu, katanya, tiga lagi mangsa lemas terdiri daripada seorang lelaki berbangsa India, seorang warganegara India dan seorang berbangsa Cina.

Mengulas lanjut, jelas Baharuddin, pada Ahad lalu, mayat seorang lelaki warganegara India ditemui lemas di kawasan lampu isyarat Kemuning Utama Seksyen 33, Shah Alam.

“Manakala pada pukul 8.03 malam sama, mayat satu lelaki (Cina) ditemui di Jalan Utama masuk ke Alam Idaman, Seksyen 22, Shah Alam.

“Pada 20 Disember (Isnin) pukul 12.39 pagi seorang mangsa  lelaki tidak pasti identiti ditemui di Pekan Sri Muda disusuli seorang mangsa wanita tidak pasti identiti di perumahan Persiaran Budiman ditemui pukul 5.17 pagi.

“Pada jam 8 pagi pula, mayat seorang lagi lelaki bangsa tidak pasti dijumpai bomba di Subtek Bencana Seksyen 25, Shah Alam.

“Kemudian pada pukul 9.39 pagi, seorang lagi lelaki bangsa tidak pasti dijumpai dalam longkang di bawah Lebuhraya Elite berhadapan MSU Seksyen 13 dan pukul 4 petang, dua mayat wanita Cina yang lemas ditemui di rumah teres Seksyen 25 dan akhirnya pukul 7.40 petang semalam, mayat lemas mangsa seorang lelaki India ditemui di Subtek Bencana Seksyen 25,” tegasnya.- MalaysiaGazette