Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad (tengah) ketika mengadakan lawatan khas ke PPS SK Sungai Serai di Hulu Langat, Selangor. Foto HAZROL ZAINAL, 22 DISEMBER 2021

HULU LANGAT – Kenyataan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari bahawa beliau kini menggalas tugas Pengerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) Selangor dibidas Datuk Abdul Latiff Ahmad.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) itu berkata, kenyataan Amiruddin bahawa jawatan Pengerusi MKN telah bertukar tangan membuktikan beliau tidak faham bidang kuasa sebagai seorang Menteri Besar.

“Mungkin MB tidak dapat nasihat yang sebetulnya.

“Dari sudut perundangan apa yang diperkatakan Tan Sri Noh Omar adalah benar kerana bila dia menjawat jawatan pengerusi MKN untuk hal keselamatan itu adalah arahan nombor satu Perdana Menteri yang boleh keluarkan arahan begitu,” katanya.

Beliau menyatakan demikian pada sidang media selepas mengadakan lawatan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Sungai Serai di Hulu Langat, hari ini.

Abdul Latiff diminta mengulas kenyataan Noh yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia yang menyatakan beliau masih lagi Pengerusi MKN Selangor.

Noh menafikan dakwaan Amirudin bahawa jawatan Pengerusi MKN telah bertukar tangan.

Jelas Abdul Latiff, kuasa untuk melantik pengerusi MKN negeri adalah terletak pada bidang kuasa Perdana Menteri.

Beliau berkata, Ismail Sabri boleh melantik mana-mana menteri Kabinet kerana isu keselamatan adalah bidang tugas kerajaan persekutuan.

“Jadi tidak timbul dakwaan itu. Mungkin ada salah faham mengenai perundangan dan tafsiran.

“MB adalah ahli Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat, dia bersama saya dalam itu yang dipengerusikan PM manakala di negeri pengerusinya adalah SUK (Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Haris Kasim),” katanya.

Semalam, Amirudin berkata, beliau telah mendapat panggilan daripada MKN untuk mempengerusikan MKN Negeri Selangor ekoran bencana banjir di negeri berkenaan.

PM Ismail Sabri dipetik sebagai berkata, belliau telah memaklumkan dalam mesyuarat MKN semua Menteri Besar, Ketua Menteri dan Menteri Perumahan serta Kerajaan Tempatan (KPKT) yang terlibat dengan Majlis Daerah dan sebagainya, supaya Menteri Besar boleh mengeluarkan arahan, juga kepada Pegawai Daerah (DO). – MalaysiaGazette